PETALING JAYA: Aktres Adiba Yunus menyangkal dakwaan kononnya dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon baharu, Hazwan As'ari yang juga adik kepada Johan As'ari. Adiba atau nama sebenarnya Siti Adibah Mohd Yunus, 27, bagaimanapun tidak menafikan mereka saling mengenali dan hubungan mereka sekadar teman biasa. "Saya kenal Hazwan malah baik dengan abangnya juga, Johan tetapi tiada apa-apa yang istimewa di antara kami dan sekadar kawan sahaja. "Buat masa ini saya tidak terfikir soal cinta kerana karier lakonan yang sedang saya bina menjadi keutamaan," katanya. Adiba berkata demikian sebagai mengulas kehadirannya pada malam tayangan perdana filem terbaharu lakonannya Badi bersama Hazwan di Cathay E@Curve di sini baru-baru ini. Adiba ingin memberi fokus kepada kerjaya seni. Pada acara berkenaan Johan turut dilihat hadir menemani adiknya itu. Badi arahan Eyra Rahman itu membariskan pelakon seperti Azwan Kombos, Hanif Safuan, Rashidah Jaafar, Sharisa Haris dan Navilya Husna. Ia mula ditayangkan di pawagan bermula 15 Oktober (hari ini). Dalam pada itu, Adiba berkata, dia selesa berkawan dengan Hazwan kerana faktor umur mereka sebaya selain sering bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan industri perfileman. "Dia juga seorang pelakon dan kami pula sebaya jadi selesa berbual-bual dengannya menerusi pelbagai topik termasuk tentang industri filem," ujarnya. Hazwan As'ari. Sementara itu, bercakap mengenai filem Badi, Adiba berkata, demi naskah berkenaan dia memasuki kelas tarian Mak Yong memandangkan wataknya sebagai Sarah memerlukannya mempraktikkan seni tari tradisional masyarakat Kelantan itu. Kata Adiba, biarpun peranannya besar dan berat namun dia bersyukur berjaya melunaskan tanggungjawab diberikan dengan bantuan pengarah dan rakan pelakon ketika di set penggambaran. "Bukan mudah bawa watak Sarah sehingga saya perlu memasuki kelas tarian Mak Yong kerana ingin betul-betul mendalami seni tarinya. "Badi adalah filem paling mencabar saya dan berharap ia dapat diterima baik oleh penonton nanti," jelasnya.