SHAH ALAM: Da'i Hamidah muncul sebagai juara pertandingan peringkat akhir program Da'i musim ketiga yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini pada Ahad. Kemenangan Hamidah atau nama sebenarnya Hamidah Ab Razak, 23, berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000. Hamidah juga menerima hadiah berupa pakej umrah tajaan Kembara Umrah Travel & Tours, kembara ilmu ke Istanbul dan Ho Chi Minh, sebuah komputer riba tajaan Serai Mas, langganan majalah-i selama setahun dan menjadi kolumnis selama enam bulan, senaskah Al Quran tajaan Majalah-i dan sebuah trofi. Selain itu Hamidah turut membawa pulang trofi dan sebuah iPad selepas dipilih sebagai Da'i Pilihan D' Herbs - pengiktirafan buat peserta menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang pertandingan berlangsung. Dua lagi peserta yang berjaya ke peringkat akhir pertandingan tersebut adalah Da'i Hidayu dan Da'i Fuad. Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumalah RM5,000 tajaan TV3, pakej kembara suci tajaan Sutra Bistari Travel & Tours, sebuah komputer riba tajaan Serai Mas, langganan majalah-i selama setahun, senaskah Al Quran tajaan Majalah-i dan sebuah trofi. Da'i Hamidah (tengah) bersama Da'i Fuad (kiri) dan Da'i Hidayu. Hamidah yang berasal dari Kedah ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka dengan kemenangan tersebut dan menyifatkan ia sebagai rezeki daripada Allah. "Ilmu yang saya dapat sepanjang berada dalam program ini sudah cukup besar ertinya kepada saya apatah lagi kemenangan pada malam ini. "Ini adalah rezeki daripada Allah dan berkat doa kedua ibu bapa, keluarga dan penyokong," ujarnya. Musim ketiga pada kali ini memperlihatkan konsep baharu apabila menampilkan lima peserta lelaki dan lima peserta perempuan dibawah pimpinan dua Murabbi (mentor) iaitu Ustaz Elyas Ismail (mentor peserta lelaki) dan Dr. Rubiah K. Hamzah (mentor peserta perempuan). Datuk Ustaz Kazim Elias pula bertindak sebagai Mursyid (ketua mentor). Kesemua peserta diadili oleh tiga juri profesional yang mewakili 70 peratus markah manakala 20 peratus undian juri awam dan selebihnya undian juri media sosial. Antara barisan juri awam adalah Erma Fatima, Datin Seri Umie Aida, Saiful Nizam, Norman Hakim, Syafiq Kyle, Da'i Adibah (pemenang Da'i musim pertama), Da'i Farhan (pemenang Da'i musim kedua), Erra Fazira dan Memey Suhaiza. Ia dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor dan pengacara bersama Zainal Ariffin Ismail. Pentas akhir Da'i musim ketiga turut diserikan dengan kemunculan Farid Sanullah iaitu penyanyi asal lagu tema Da'i musim ketiga bertajuk Lebaran Kejayaan. Da'i musim ketiga turut disiarkan secara langsung di TV3.