suria

'Penyanyi Lama Kena Terbuka Terhadap Kritikan' - Amir Ukays

Amir tiada masalah menerima kritikan daripada pengkritik biarpun sudah bergelar penyanyi sejak 20 tahun lalu.

PETALING JAYA: Bekas vokalis kumpulan Ukays iaitu Amir berpendapat penyanyi berpengalaman sepertinya perlu terbuka terhadap kritikan jika ingin kekal relevan dalam industri muzik.

Amir atau nama sebenarnya Mohd Azmir Muhammad Yusof, 46, berkata, segala pandangan dan kritikan perlu diambil positif kerana sebagai seorang artis proses pembelajaran itu akan tetap ada sejajar dengan perubahan landskap industri muzik.

"Saya sendiri tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima kritikan dan teguran daripada juri profesional mahupun peminat walaupun sudah berada dalam industri hampir 25 tahun.

"Pandangan atau kritikan itu kita perlu ambil positif dan jangan cuba berlagak hebat kerana ia tidak akan membawa ke mana-mana," katanya.

Amir kini sedang bertanding bersama 11 lagi penyanyi profesional bagi merebut gelaran juara program Gegar Vaganza musim kedua.

Konsert mingguan disiarkan secara langsung pada setiap hari Ahad, pukul 9 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Dalam pada itu, Amir berkata, dia bersyukur dapat menyertai program berkenaan selepas terpaksa menolak tawaran semasa musim pertama tahun lalu.

Jelas Amir, dia melihat Gegar Vaganza adalah platform terbaik untuknya kembali aktif dan bersedia dengan cabaran dalam program itu.

"Sebelum ini saya terpaksa menolak kerana jadual kerja yang tidak mengizinkan, Alhamdulillah tahun ini masih diberi peluang untuk beraksi.

"Saya masih aktif dalam bidang seni cuma jarang muncul dalam program televisyen dan akan menggunakan platfrom ini untuk memberitahu peminat saya ada dan akan memberikan persembahan terbaik," katanya.

Amir Ukays, Gegar Vaganza

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain