PETALING JAYA: Pelakon Azwan Kombos menjelaskan tidak pernah diberi keistimewaan oleh pihak pengurusannya iaitu Metrowealth International Group (MIG) dalam mendapatkan peranan utama terbitan syarikat berkenaan. Azwan, 30, sebaliknya berkata, dia masih perlu menghadiri uji bakat sebelum diterima sebagai pelakon dalam sesebuah karya termasuk filem terbaharu lakonannya, Badi. "Menjadi artis dibawah naungan MIG tidak memberi jalan mudah kepada saya seperti mana sesetengah pihak fikir kerana saya masih perlu menghadiri sesi uji bakat sebelum diterima berlakon dalam sesuatu projek. "Bagi saya perkara itu biasa bagi mana-mana pelakon meskipun filem itu terbitan syarikat pengurusan saya sendiri, ia tidak bererti saya dapat jalan mudah," katanya. Selain Azwan, filem Badi arahan Eyra Rahman itu membariskan pelakon seperti Adiba Yunus, Hanif Safuan, Rashidah Jaafar, Sharisa Haris dan Navilya Husna. Ia mula ditayangkan di pawagan sejak 15 Oktober lalu. Dalam pada itu, Azwan berkata, walaupun sudah memegang peranan utama namun itu tidak bererti dia boleh berasa selesa kerana masih banyak perkara perlu dipelajarinya. Malah kata Azwan, dia masih perlu membuktikan kemampuan diri sebagai pelakon agar tidak dianggap sekadar picisan dalam industri perfileman. "Saya tidak boleh berasa selesa kerana masih banyak sasaran yang ingin saya capai sebagai pelakon selain perlu buktikan diri kemampuan diri saya sebagai seorang pelakon. "Setakat ini masih banyak lagi perkara yang belum saya lakukan termasuk ingin mencuba berlakon dalam filem aksi," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Azwan berkata, selain filem Badi, dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Gila Tak Cinta bergandingan dengan Atikah Suhaime.