KUALA LUMPUR: Penyanyi Zamani (Slam) menjelaskan tindakannya keluar dari Rumah Pengasih dibuat selepas tiada keputusan mengenai hajatnya selepas satu perbincangan dilakukan bersama pihak pengurusan tempat pemulihan dadah itu. Zamani atau sebenarnya Zamani Ibrahim,44, berkata, dia yakin bahawa dirinya sudah bersedia berhadapan dengan dunia luar selain ingin meneruskan kerjaya sebagai penyanyi. "Saya bukan melarikan diri sebaliknya mengambil keputusan untuk keluar dan yakin mampu untuk hidup sendiri selain ingin meneruskan kerjaya sebagai penyanyi. "Tiada isu tentang melarikan diri kerana tempoh saya di sini hanya enam bulan tetapi saya teruskan hingga lapan bulan dan perbincangan untuk keluar sudah dibuat dua minggu lalu antara keluarga saya dan pihak Rumah Pengasih. "Namun sehingga sekarang mereka tidak ada jawapan untuk beri pelepasan kepada saya. Pada perbincangan itu juga mereka berat untuk melepaskan saya keluar dari pusat ini," ujarnya kepada mStar Online. Zamani ditemui pada satu sidang media yang diadakan di rumah pemulihan itu di sini, Isnin. Zamani yakin sudah bersedia untuk hidup berdikari. FOTO: Low Boon Tat Pada Jumaat lalu Rumah Pengasih telah mengeluarkan kenyataan media menyatakan Zamani telah melarikan diri dari rumah pemulihan berkenaan pada Khamis lalu kira-kira pukul 10.26 malam. Penyanyi itu dikesan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) menaiki sebuah kereta berwarna putih bersama dua individu. Dalam pada itu, Zamani berkata, dia sudah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, kira-kira lima jam selepas keluar dari pusat pemulihan tersebut. "Saya buat laporan polis pada pukul 3 pagi di Muar, saya buat laporan bukan kerana saya tahu tentang laporan akhbar bahawa saya melarikan diri sebaliknya sebagai memberitahu saya sudah keluar dari pusat itu," ujarnya. Zamani juga yakin untuk memulakan kehidupan baharu di luar dengan sokongan ahli keluarga dan pengurusannya. "Saya datang hari ini untuk selesaikan beberapa perkara selain ingin mengambil barang-barang saya. "Saya akan berusaha untuk menjaga diri saya di dunia luar dengan bantuan dan pengawasan daripada pihak keluarga serta pengurusan saya," ujarnya. Sementara itu, Zamani bersama abang dan kakaknya iaitu Zulfazli dan Zuraidah bersama pengurusnya Johan Aziz hadir ke Rumah Pengasih itu untuk menyelesaikan perkara berkenaan. Mereka pada mulanya terkejut apabila melihat sekumpulan rakan media kerana tidak dimaklumkan mengenai sesi berkenaan yang diuruskan oleh peguam yang pernah mengendalikan kes Zamani sebelum ini iaitu Ahmad Zaharil Muhaiyar. Malah, pihak Rumah Pengasih juga turut terkejut dengan sesi berkenaan kerana mereka tidak diberitahu mengenai sesi itu. Bagaimanapun, Zamani yang hadir untuk mengambil barang-barangnya di rumah pemulihan itu mengambil peluang untuk menjelaskan situasi sebenar mengenai insiden berkenaan kepada pihak media yang kebetulan berada di Rumah Pengasih. Tiada wakil dari Rumah Pengasih yang menghadiri sidang media berkenaan. Terdahulu pada 6 Mei lalu, Mahkamah Majistret Ampang menjatuhi hukuman denda masing-masing sebanyak RM5,500 terhadap Zamani dan pembantu peribadinya Nur Juliana Abdul Rani, 32, selepas kedua-dua mereka mengaku salah atas tuduhan memiliki dan mengambil dadah.