PETALING JAYA: Bekas suami kepada Izreen Azminda iaitu Muhamad Riza Baharuddin, menafikan tuduhan wanita itu dia bersekedudukan dengan kekasihnya dan membawa anak mereka tinggal bersama. Bagaimanapun, Muhamad Riza, 32, mengakui ada memperkenalkan anaknya Muhammad Adrian Umar, (1 tahun), itu kepada kekasih baharunya. "Sumpah dengan nama Allah saya tidak tinggal dengan mana-mana perempuan atau kekasih saya, sekarang saya tinggal bersama adik bongsu saya dan pembantu jurukamera. "Saya faham keadaan Izreen dan tidak akan sakitkan hati ibu kepada anak saya. Saya juga tiada niat nak kenalkan kekasih baru kepada anak saya cuma ia berpunca daripada satu kejadian kecil. Saya malas besarkan isu ini, biarkan sahajalah," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Jumaat. Riza diminta mengulas tentang tuduhan pelakon Izreen, 30, di laman sosial Instagram miliknya yang berang apabila anak mereka dibelai oleh wanita yang dipercayai kekasih kepada bekas suaminya itu. Izreen turut membalas komen peminatnya yang melahirkan kemarahannya itu yang memberi gambaran kononnya bekas suami tinggal bersama seorang wanita sebelum sah menjadi suami-isteri. Sementara itu, Riza turut berkata, Izreen tidak pernah membenarkan dia membawa anak mereka bermalam di rumahnya sejak mereka berpisah. "Penjagaan anak saya serah pada Izreen, saya akan berjumpa anak bila saya habis kerja awal sahaja. Nak tidur dengan anak memang Izreen tak bagi, jadi saya ikut sahaja kehendaknya untuk puaskan hati dia," ujar Riza. Dalam pada itu, Riza berkata, dia yakin kenyataan yang dimuat naik aktres itu adalah dipengaruhi oleh orang sekeliling. Namun hubungan dia dengan Izreen masih baik dan dia menghormati apa juga tindakan wanita tersebut yang bertujuan untuk melindungi anak mereka. "Saya tahu Izreen itu macam mana, dia akan melenting begini jika ada orang yang cucuk dia. "Biarlah orang nak tuduh saya apa sekalipun kerana saya bukan artis," ujarnya. Izreen atau nama sebenar Izreen Azminda Aznam bergelar isteri kepada Muhammad Riza pada 31 Ogos 2012 dan berpisah pada 9 Jun 2014. Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Adrian Umar yang kini berumur 1 tahun. Sementara itu, Izreen berkata, status di Instagram serta komen yang dibalas kepada pengikutnya itu tidak ditujukan kepada mana-mana pihak tertentu, sebaliknya ia adalah kenyataan berbentuk umum. "Apa yang saya paparkan di Instagram sebagai kenyataan umum di mana saya lihat segelintir lelaki yang menjadi bekas suami tidak peka dengan situasi dan perkembangan anak yang melihat sikap buruk mereka. "Lebih menyedihkan anak akan melihat ayahnya bersekedudukan dengan kekasih, bukankah ia memberikan contoh yang tidak baik kepada si anak? Apa-apapun saya tidak tujukan kepada sesiapa pun, tetapi jika ada yang terasa, itu terpulang," katanya. Tambah Izreen lagi, status yang dikeluarkan itu juga sebagai peringatan kepada semua bekas pasangan yang sudah bercerai dan berharap ia tidak dibesar-besarkan atau dikait dengan mana-mana pihak yang ada kaitan dengannya.