PETALING JAYA: Vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat meminta orang ramai agar tidak mengambil serius gurauan pengacara Nabil Ahmad yang mempersendakan kumpulannya pada episod pertama program Gegar Vaganza 2 yang bersiaran pada 18 Oktober lalu. Azmi, 28, menyifatkan Nabil seorang yang lucu serta menghiburkan dan dia mahupun anggotanya tidak pernah terasa dengan kata-kata pelawak itu meskipun gurauan Nabil itu kasar. "Jujurnya, sedikit pun kami tak terasa dengan gurauan Nabil itu. Kami mengikuti program itu dan lawak dia memang menghiburkan. "Apatah lagi setiap minggu kami berjumpa dengan Nabil di program Meletop dan kami sangat mengenali dia yang suka bergurau secara kasar. "Ahli-ahli Caliph Buskers lain pun seronok dengan gurauan dia kerana kebanyakan orang melayan kami terlalu baik disebabkan kekurangan kami," katanya kepada mStar Online. SILA KLIK: Astro Tegur Nabil Ahmad, Beri Penapis Gara-Gara Lepas Cakap Terdahulu Nabil dalam satu kenyataan kesal dengan tindakannya itu dan telah pun meminta maaf secara peribadi kepada kumpulan tersebut selain tidak berniat untuk mempermainkan kecacatan dialami mereka. Nabil Ahmad Dalam rancangan itu, semasa giliran Zul (Handy Black) membuat persembahan, Nabil telah bertanya mengenai lukisan di atas pentas dan dia telah menyamakan karya itu dengan kumpulan Caliph Buskers yang mana ahli-ahlinya adalah cacat penglihatan. Kumpulan Caliph Buskers dianggotai oleh Azmi Saat (vokalis), Nirwan (pemain gitar), Zaki (pemain gitar/vokalis), Fendy (cajon/vokalis), Rubiana (shaker/vokalis). Tindakan Nabil itu membuatkan pihak Astro memanggilnya untuk memberi nasihat. Sementara itu, Azmi berkata dia faham apabila masyarakat marah dengan tindakan Nabil itu, namun orang ramai juga perlu tahu bahawa golongan orang kurang upaya (OKU) juga manusia biasa yang suka bergurau senda. "Memang dari dulu lagi masyarakat begitu prihatin terhadap sensitiviti golongan OKU. Kami bersyukur dengan perkara itu. "Tetapi kalau anda semua nak tahu, kami lebih suka jika kami dilayan seperti orang biasa. Kami suka bergurau, malah lebih kasar daripada Nabil lagi. Hahaha.." ujarnya. Dalam perkembangan lain, kata Azmi, dia bersyukur apabila single lagu pertama kumpulannya iaitu Hanya Namamu mendapat respons yang sangat positif sejak ia dilancarkan April lalu. Malah jumlah klip video di Youtube pula sudah mencecah lebih sejuta tontonan. "Alhamdulillah. Pada mulanya kami hanya mahu dikenali. Tetapi tidak sangka Caliph Buskers sudah memiliki single lagu yang mendapat perhatian ramai. "InsyaAllah kami akan muncul pula dengan single lagu kedua," tuturnya.