suria

Indah Ruhaila Kahwin Tahun Depan

Indah Ruhaila baharu sahaja muncul dengan single terbaharu berjudul Di Sebalik Takdir. Foto THE STAR/FAIHAN GHANI.

PETALING JAYA: Penyanyi Indah Ruhaila merancang untuk menamatkan zaman bujangnya pada tahun depan selepas dua tahun mengikat tali pertunangan dengan jejaka berusia 32 tahun.

Indah atau nama sebenarnya Siti Ruhailah Hussin, 28, berkata, dia masih mencari tarikh yang sesuai dan menyelesaikan beberapa perkara penting berkaitan kerjaya nyanyiannya terlebih dahulu.

"Insya-Allah tidak lama lagi, dalam tahun depan kami merancang untuk mendirikan rumah tangga selepas dua tahun juga mengikat tali pertunangan.

"Kalau boleh saya memang mahu berkahwin sebelum umur 30 tahun, kalau jadi akhir tahun depan, awal tahun depan kami akan buat persiapan sedikit-sedikit dahulu," ujarnya kepada mStar Online.

Indah rancang tamat zaman bujang sebelum 30 tahun.
Indah berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan hubungan pertunangan yang diikat pada April 2013 lalu.

Dalam pada itu, Indah berkata, dia dan tunangannya sudah pun mengambil kursus perkahwinan sebelum mengikat tali pertunangan lagi.

Sementara itu, bercerita tentang fasa pertunangan, Indah mengakui sepanjang dua tahun tempoh tersebut pelbagai cabaran dan ujian yang ditempuhi.

Katanya, dia bersyukur apabila tunangannya itu turut memahami kerjayanya sebagai seorang penyanyi.

"Dua tahun ini memang banyak cabarannya, lebih banyak ujiannya selepas keluar daripada Akademi Fantasia 2013 lalu.

"Gosip-gosip seperti putus tunang dan gosip cinta bersama seorang pelakon juga antara yang paling terkesan terutamanya kepada pihak keluarga lelaki," ujarnya.

Dalam perkembangan kerjaya, Indah berkata, dia kini sedang mempromosi single terbaharunya berjudul Di Sebalik Takdir ciptaan Edry Abdul Halim.

Indah berkata, dia agak tertekan untuk mempromosi lagu tersebut berikutan jangkaan peminat yang terlalu tinggi untuk dia berjaya meraih tempat ke Anugerah Juara Lagu (AJLK) akan datang.

"Indah baru keluar dengan lagu baru berjudul Di Sebalik Takdir, buat masa ini dalam rangka promosi lagi. Secara jujurnya memang akan tertekan apabila orang ramai terlalu mengharapkan saya bawa lagu terbaik.

"Peminat terutamanya ingin lagu nyanyian saya masuk AJL setiap tahun, perkara itu membuatkan saya bimbang," ujarnya.

Indah Ruhaila, Sebalik Takdir.

Artikel Lain