suria

Raja Ilya Teruja Bakal Berlakon Bersama Kajol

Raja Ilya akan terlibat dengan filem 'KL Ke Bollywood'
PETALING JAYA: Pelakon Raja Ilya teruja apabila filem yang bakal menggandingkannya dengan bintang Bollywood iaitu Kajol bakal memulakan penggambaran pada Disember depan.

Raja Ilya atau lebih mesra dengan sapaan Ilya, 30, berkata, filem bertajuk KL Ke Bollywood itu bakal menjalani penggambaran selama dua minggu di Mumbai, India.

"Filem ini sepatutnya menjalani penggambaran Mac lalu namun atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan selain tidak mendapat pengesahan daripada produksi di India ia terpaksa ditangguhkan.

"Alhamdulillah produksi telah mengesahkan penggambaran akan dijalankan pada Disember depan dan saya teruja kerana bintang Bollywood Kajol turut terlibat dalam filem ini," katanya kepada mStar Online.

Filem arahan T. Anand itu turut menampilkan Shaheizy Sam yang berkisarkan tentang hasrat seorang pemuda yang ingin mengejar impiannya sebagai bintang terkenal di India.

Raja Ilya

Dalam pada itu, Raja Ilya berkata, dia tidak sabar untuk bertemu dengan bintang diminatinya itu dan menganggap peluang bergandingan dengan Kajol sebagai mimpi menjadi kenyataan.

Malah dia melihat penglibatannya dalam filem berkenaan mampu membuka ruang lebih besar untuk melebarkan sayap lakonan di luar negara.

"Peluang yang datang seperti mimpi dan ini adalah peluang saya untuk membuktikan diri dan mengembangkan kerjaya di peringkat lebih tinggi.

"Ini adalah impian saya dan harus saya rebut kerana ia tidak mungkin datang lagi selepas ini," ujarnya.

Bercakap lanjut mengenai KL Ke Bollywood, Raja Ilya berkata, dia bakal menggalas watak antagonis yang bertanggungjawab mempertemukan Kajol dan Shaheizy Sam dalam filem itu.
Dia juga perlu bertutur dalam bahasa Hindi namun tidak melihat ia sebagai masalah kerana dia mahir bertutur dalam bahasa tersebut selain Tamil dan Telegu.

Dalam perkembangan lain Raja Ilya yang bakal muncul dalam filem televisyen berjudul Jelmaan berkata, karya itu memberi cabaran kepadanya sebagai pelakon kerana perlu menzahirkan watak Lina yang emosinya tidak stabil dan sentiasa menjerit.

"Saya hampir hilang suara pada hari pertama penggambaran kerana terlalu banyak menjerit kerana watak Lina adalah seorang yang tidak stabil emosinya dan sentiasa kelam kabut akibat kehilangan anak.

"Bagaimanapun saya gembira dengan hasil filem ini dan berharap penonton akan berpuas hati dengan Jelmaan," katanya.

Kajol gagal memenuhi perjanjian
Kajol

Tambahnya, semasa penggambaran yang diadakan di Yogyakarta, Indonesia tahun lalu dia turut mengalami gangguan halus apabila menyedari sesuatu yang tidak kena berlaku kepada dirinya selepas terlanggar sesuatu ketika berada di sebuah lokasi berdekatan Gunung Merapi.

"Ketika berada dilokasi untuk merakamkan babak kemalangan bas di sebuah bekas empangan air berdekatan Gunung Merapi saya tersepak sesuatu dan sejak itu saya mula mengalami gangguan.

"Selain jari kaki saya menjadi kebas, saya mula berasa resah dan tidak boleh tidur selain sering melihat kelibat," katanya.

Bagaimanapun keadaannya beransur pulih selepas seorang pengamal perubatan tradisional membantu memulihkan keadaan.

Jelmaan yang diarahkan oleh pengarah Indonesia, Sridhar Jetty disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif (480) dan penonton boleh melanggan filem berkenaan sejak 31 Oktober lalu.

Selain Ilya, filem itu turut dibintangi oleh Keith Foo, Mia Sara dan Rykarl Iskandar.
Raja Ilya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain