PETALING JAYA: Anak tiri kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza iaitu Asyraf Khalid berkata dia mahu isterinya, Tya Arifin, 21, menjadi tulang belakang dalam menyusuri kejayaannya dalam karier. Asyraf, 23, juga menyifatkan pintu rezekinya akan lebih terbuka selepas mendirikan rumah tangga dengan selebriti dari Indonesia itu. "Apabila Tya sah bergelar isteri saya, apa yang saya mahukan hanyalah dia sentiasa berada di sisi dan menjadi tulang belakang saya dalam karier. "Dan saya percaya tanpa bantuan seorang isteri, agak sukar untuk kita kecapi kejayaan. Dengan adanya isteri juga, pintu rezeki akan lebih terbuka. Sekali gus saya mahu kejayaan yang dikecapi menjadi inspirasi masyarakat," katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin. Asyraf mahu mengembangkan kerjaya isteri di Malaysia. Asyraf selamat diijabkabulkan dengan Tya atau nama sebenarnya, Nurtria Wulandari Ariffin di Hotel Majestic kira-kira pukul 8 malam Ahad. Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Pasangan itu sah bergelar suami-isteri dengan sekali lafaz. Pihak lelaki menyerahkan mas kahwin RM1,000. Asyraf dan Tya mengikat pertunangan pada 21 Ogos lalu di Palembang, Indonesia. Sementara itu, Asyraf turut merancang mengembangkan karier nyanyian Tya dalam industri hiburan negara ini. "Memandangkan Tya akan menetap di sini (Malaysia) saya perlu membantu mengembangkan karier nyanyiannya memperkenalkan dia kepada masyarakat. "Saya harap peminat muzik tempatan dapat menerimanya dengan tangan terbuka," ujarnya. Asyraf merupakan Ketua Pegawai Eksekutif A Klasse serta pengasas organisasi Generasi Bersatu Malaysia (GBM) dan anak ketiga hasil perkahwinan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) dan Tengku Zawyah.