PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Neelofa menepis dakwaan syarikat miliknya iaitu Naelofar Hijab menganiayai salah seorang stokis di bawah pengurusannya. Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Md Noor, 26, berkata, perkara itu merupakan fitnah dan pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tersebut. "Kami sudah kenal pasti individu yang menyebarkan fitnah tersebut, dia merupakan salah seorang stokis di Perak yang telah ditamatkan kontrak beberapa bulan lalu. "Ia berikutan dia melanggar dua perkara dalam kontrak yang dipersetujui sebagai stokis. Kami juga mendapat maklumat individu tersebut sudah menipu pembeli produk Naelofar Hijab lebih RM10,000. "Perkara tersebut mendorong individu itu untuk menabur fitnah dengan niat tertentu dan kami tidak teragak-agak untuk ambil tindakan undang-undang," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada sidang media di ibu pejabat Naelofar Hijab, Taman Tun Dr Ismail di sini, Isnin. Neelofa diminta mengulas mengenai seorang individu yang mendakwa syarikat miliknya menganaiyai beberapa stokis dan pekerja Naelofar Hijab. Neelofa (empat dari kiri) bersama sebahagian daripada pemilik stokis Naelofar Hijab. Foto: IZZRAFIQ ALIAS Individu tersebut juga mendakwa syarikat milik pengacara itu mengambil deposit yang dikenakan kepada stokis berdaftar dan tidak memulangkan wang tersebut selepas ditamatkan kontrak. "Tentang dakwaan mengambil duit stokis itu sebenarnya individu tersebut tidak faham bahawa setiap stokis perlu membayar yuran RM200, namun ia sudah dijelaskan yang wang itu tidak akan dipulangkan. "Tapi kita hanya mengenakan yuran kepada stokis yang berjaya dipilih dalam temuramah yang dilakukan terlebih dahulu. Kita mempunyai syarat dan peraturan yang ketat kepada siapa yang ingin menjadi stokis," ujarnya. Sementara itu, Neelofa turut mengakui kesal apabila fitnah tersebut turut melibatkan ahli keluarganya yang dikatakan bersikap tamak apabila turut menjadi stokis penjualan tudung jenama itu. Ujar Neelofa, dia membuka peluang perniagaan tersebut kepada ahli keluarga dan saudara-mara terdekat untuk menjadi stokis bagi membantu menjana pendapatan masing-masing. "Saya kecewa fitnah tersebut turut mengaitkan ibu bapa dan keluarga saya dengan menganggap keluarga kami tamak. "Saya memang membuka peluang kepada ahli keluarga lain untuk menjadi stokis bagi membantu menjana pendapatan," ujarnya. Neelofa turut memberitahu, syarikatnya kini mempunyai 700 stokis di seluruh negara dan sudah menamatkan kontrak seramai 60 stokis atas sebab-sebab tertentu.