suria

Farah Asyikin, Suami Lantik Hakam Selesai Masalah Perkahwinan

Farah Asyikin dan suaminya, Zaahier Stanley melantik hakam (orang tengah) bagi menyelesaikan masalah rumah tangga mereka.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Farah Asyikin dan suaminya, Zaahier Stanley pada Rabu melantik hakam (orang tengah) bagi mencari jalan penyelesaian masalah perkahwinan mereka.

Pada prosiding sebutan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, Farah, 35, melantik abang iparnya, Kamarul Bahrin Mohamad sebagai hakamnya manakala suaminya akan diwakili oleh rakan baiknya, Hussin Abdul Razak.

Pelantikan hakam itu dibuat di hadapan Hakim Syarie Umamuddin Yunus dan laporan hakam itu akan dibentangkan pada 15 Disember depan.

Farah hadir di mahkamah bersama anggota keluarganya dan diwakili peguam syarie Siti Maisyarah Hashim manakala Zaahier, 38, diwakili peguam syarie Nurfarhana Abdul Manaf.

Dalam pada itu, Umamuddin menolak permohonan pihak plaintif iaitu Farah agar kos semakan semula kes berkenaan di Mahkamah Tinggi sebelum ini dibayar oleh defendan.

Jelas beliau, permohonan semakan semula yang dibuat plaintif adalah berdasarkan undang-undang dan defendan tidak patut dikenakan kos berkenaan.

Terdahulu, Farah memfailkan penceraian tersebut pada penghujung Oktober tahun lalu.

Farah dan Zaahier yang juga seorang warganegara Afrika Selatan yang berketurunan Melayu Cape berkahwin pada 15 Februari 2013 selepas berkenalan selama setahun menerusi Twitter.

Hasil perkahwinan tersebut pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Ebrahim Owais yang baharu sahaja berusia 18 bulan.

Farah Asyikin, Zaahier Stanley

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain