suria

Penyanyi Baharu Wani Kayrie Tak Patah Semangat Dikritik Kerana Usia

Wani tidak sangka lagu Jangan Jangan dapat sambutan.
PETALING JAYA: Penyanyi baharu yang popular dengan lagu Jangan Jangan, Wani Kayrie berkata kritikan negatif segelintir masyarakat yang menganggap dia belum sesuai untuk menjadi penyanyi pada usia 16 tahun tidak melemahkan semangatnya.

Malah, Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah berkata, perkara tersebut membuatkan dia lebih berhati-hati untuk tidak mengabaikan pelajarannya.

"Ramai yang beri komen saya masih bersekolah dan tidak sesuai jadi penyanyi. Mereka kata kerjaya nyanyian saya ini hanya akan menjejaskan pendidikan saya.

"Saya ambil pendapat tersebut secara positif dan ingin buktikan sebaliknya, oleh itu saya tidak boleh main-main dalam pelajaran kerana saya tahu jika saya gagal pasti ada yang menyalahkan tindakan saya ini," ujarnya kepada mStar Online.

Wani tidak akan abaikan pelajaran.

Wani kini masih belajar di tingkatan empat di Sekolah Menengah Perempuan Sri Aman, di sini.


Tambah Wani, dia tidak pernah mengabaikan pelajaran serta aktif dalam setiap kegiatan yang dianjurkan pihak sekolah.

Sementara itu, Wani berkata, keluarganya turut memberi sokongan dalam bidang seni, malah pernah melepaskannya seorang diri untuk terlibat di peringkat antarabangsa pada usia 12 tahun.

"Keluarga tiada masalah terhadap saya kerana mereka memang bagi sokongan dan tahu minat saya dalam bidang ini. Pada usia 12 tahun lagi mereka sudah melepaskan saya untuk bertanding dalam satu pertandingan di Los Angeles," ujarnya.

Dalam pada itu, Wani yang kini berada di bawah syarikat rakaman Suria Records berkata, dia tidak menyangka lagu pertamanya berjudul Jangan Jangan yang dihasilkan oleh DJ Fuzz menerima sambutan baik pendengar.

Katanya, video muzik yang baharu dimuat naik dua bulan lalu sudah mencecah lebih 1 juta tontonan.

"Alhamdulillah, saya pun tidak sangka orang ramai suka lagu ini dan video klip kini sudah mencecah sejuta totonan walaupun saya hanya penyanyi baru sahaja.

"Pendengar yang tidak mengenali saya menyangkakan saya sudah berusia dan mereka terkejut apabila mengetahui umar saya baru 16 tahun," ujarnya.

Selain itu Wani berkata, dia dalam proses untuk pembikinan lagu baharu yang bergenre pop yang menggunakan khidmat komposer yang sama.

Katanya, buat masa ini dia tidak mahu menyanyikan lagu yang berunsurkan cinta berikutan usia yang masih muda.

"Saya akan kekalkan lagu rentak seperti ini kerana lebih sesuai dengan jiwa dan usia saya. Kalau nyanyi lagu cinta-cinta tu mungkin masih tidak sesuai lagi," ujarnya.

 

Wani Kayrie, Jangan Jangan

Artikel Lain