PETALING JAYA: Penyanyi Adira tidak akan menyekat mana-mana peminat untuk menjadi pengikut laman sosial miliknya meskipun dia sering menjadi sasaran ejekkan dan kritikan. Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 24, berkata, sebagai artis dia perlu tenang dengan situasi berkenaan agar tidak mendatangkan tekanan kepada kerjayanya. "Saya tidak melihat sebarang keperluan untuk menyekat pengikut di laman sosial hanya kerana mereka mengejek atau mengkritik saya secara terbuka. "Pada saya ia perkara remeh dan tidak perlu diberikan perhatian kerana kalau hendak jadi artis kena tanggunglah dengan perkara-kara seperti ini," katanya kepada mStar Online. Terdahulu Adira dikutuk peminat sebagai hantu selepas dia memuat naik foto memaparkan dia berpakaian jubah sambil menaiki skuter roda elektrik. Selain itu, ada pihak mendoakan Adira agar tidak boleh berjalan sehingga mengguris perasaan ibunya, Rujinah Sarungin. Adira muncul dengan single terbaharu berjudul Kekasih Teragung Dunia. Dalam pada itu, Adira berkata, sekiranya perkara ditimbulkan pengikut laman sosial menyentuh tentang keluarganya dia akan menegur agar mereka tidak mengulangi perbuatan berkenaan. "Seperti isu mereka katakan saya hantu, saya tiada masalah sebenarnya tetapi apabila ia telah mengguris hati dan perasaan ibu, saya perlu bersuara. "Mereka boleh tegur saya secara terbuka dan perlu terima apabila saya buat perkara sama," jelasnya. Dalam perkembangan lain Adira berkata, dia teruja apabila sekali lagi dapat bekerjasama dengan komposer Edry Abdul Halim menerusi single terbaharunya berjudul Kekasih Teragung Dunia. Adira memilih untuk merakamkan lagu berkenaan selepas tertarik dengan keunikan karya tersebut yang mempunyai elemen kemelayuan. "Saya sukakan melodi lagu itu yang mempunyai unsur kemelayuan dan Kekasih Teragung Dunia antara lagu mencabar yang pernah saya rakamkan setakat ini kerana ia mempunyai nada tinggi," katanya. Bagaimanapun Adira menafikan lagu berkenaan berkisarkan mengenai kisah percintaannya dengan Shahrul Nasrun Kamarudin seperti digembar-gemburkan sebelum ini. "Bukan saya yang tulis lagu berkenaan tetapi Edry. Jadi ia tiada kena mengena dengan kisah hidup saya sebaliknya difahamkan Edry buat lagu berkenaan untuk isterinya," kata Adira.