suria

Zahirah MacWilson Trauma Nyaris Diculik Di Parkir Kereta

Zahirah masih trauma.
PETALING JAYA: Pelakon baharu Zahirah MacWilson mengesahkan dirinya nyaris diculik di sekitar pusat beli-belah di Damansara, di sini pada petang Rabu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Zahirah, 20, berkata, dia berada di tempat parkir kereta pusat beli-belah berkenaan.

"Ya, kejadian buruk itu berlaku petang semalam (Rabu) ketika hendak pulang, ketika itu saya bersendirian.

"Tapi saya tidak mahu cerita bagaimana ia berlaku cukuplah saya katakan agar kaum wanita supaya lebih berhati-hati ketika berada di tempat parking dan kunci pintu ketika sudah berada di dalam kereta.

"Saya tidak tahu apa niat sebenar penjenayah itu, namun saya pasti ia bukan kerana saya seorang artis, ia boleh berlaku kepada wanita lain juga," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Khamis.

Zahirah diminta mengulas tentang komen di Twitter pelakon Zul Ariffin malam Rabu yang memberitahu bahawa pelakon itu nyaris diculik di sekitar pusat beli belah, di sini.


Zul kini digosipkan bercinta dengan Zahirah.

Sementara itu, Zahirah berkata, dia kini masih berada dalam keadaan trauma.

Dia juga sudah membuat laporan polis selepas kejadian di sebuah balai polis berhampiran.

"Sudah tentu selepas kejadian itu perasaan saya sangat takut dan trauma tapi Alhamdulillah pagi ini sudah kurang sedikit. Saya juga perlu ke lokasi penggambaran drama Cik Cinderella Dan Encik Tengku," ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya bagaimana kejadian tersebut berlaku secara lebih terperinci, wanita ini menganggap ia sebagai sesuatu yang agak peribadi.

Dia tidak mahu apa yang diceritakan itu menjadi bahan negatif masyarakat terhadap dirinya.

"Saya tidak mahu cerita perkara secara terperinci kerana menerusi kenyataan-kenyataan saya tentang apa-apa isu akan dipandang negatif. Biarlah saya sahaja yang tahu bagaimana ia berlaku," ujarnya.

Zahirah sebelum ini dikaitkan sedang bercinta dengan aktor Zul Ariffin setelah gambar-gambar mesra mereka tersebar di internet.

Namun, kedua-dua pelakon itu masih belum mengesahkan hubungan istimewa tersebut.

Zahirah MacWilson, Zul Ariffin

Artikel Berikut

Artikel Lain