PETALING JAYA: Bintang bola sepak Aidil Zafuan akan mengotakan janjinya untuk membayar RM30,000 kepada bekas isterinya Rita Rudaini yang berjaya mendapat tuntutan mutaah seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor. Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 27, berkata dia akan membayar sekali gus wang berkenaan dan enggan berhutang apa-apa dengan pelakon wanita itu. "Mahkamah sudah pun memberi perintah tersebut. Maka saya akan bayar. Lagipun saya tak pernah cakap tak mahu bayar. Kalau tak bayar, maksudnya saya dah langgar perintah mahkamah. "Saya akan bayar habis (sekali gus) dan tidak mahu berhutang apa-apa lagi dengan dia. "Cuma pihak saya belum menerima sebarang surat dari mahkamah untuk membuat pembayaran itu," katanya yang dihubungi mStar Online. Rita Rudaini Pada 4 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memerintahkan Aidil membayar kepada bekas isterinya sebanyak RM30,000 daripada tuntutan sebenar dibuat Rita iaitu RM300,000. Tuntutan mutaah bermaksud pemberian harta (sagu hati) yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri yang telah diceraikan. Sementara itu, Aidil berkata, dia berharap tiada isu lain yang bakal dibangkitkan selepas ini. Katanya sehingga kini, dia masih lagi menjalani tanggungjawab sebagai seorang bapa dengan memberi nafkah wang kepada anak-anaknya. "Harap-harap tiada isu lain timbul. Setakat ini saya membayar nafkah anak-anak macam biasa," tuturnya. Ditanya adakah dia dapat bertemu dengan dua orang anaknya iaitu Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna yang berusia empat tahun, katanya: "Tidak. Walau apa pun dia (Rita) cuba buat, anak-anak tetap ber'bin'kan Aidil Zafuan. "Kalau betullah cara saya ini, satu hari nanti anak-anak akan tahu sendiri perkara yang sebenar," ujarnya. Rita dan Aidil bercerai talak satu pada 5 September 2013 di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.