KUALA LUMPUR: Kehidupan Datuk Ooi Eow Jin yang kini semakin melarat mendapat perhatian stesen televisyen RTM untuk menganjurkan Konsert Orkestra RTM bagi meringankan beban komposer veteran itu. Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail yang juga sahabat baiknya berkata, ia bertujuan mengumpul derma bagi membantu Ooi, 77, yang kini penghidap penyakit Alzheimer dan terputus sumber pendapatan. "Ini merupakan konsert penghargaan keempat bagi pihak RTM, tapi kali ini kita berkerjasama dengan Persatuan Karyawan untuk mengutip derma bagi meringankan beban Datuk Ooi. "Kehidupannya kini agak daif dan kita perlu bantu dia meneruskan kehidupan, sekarang dia mengalami Alzheimer dan tidak boleh bekerja, malah dia juga menanggung anaknya yang sedang menderita penyakit tumor otak," ujarnya kepada mStar Online. Ooi Eow Jin bersama isterinya Datin Khaw Lean Kee. Khaw hanya boleh berkomunikasi dalam bahasa Mandarin sahaja. FOTO: Azalina Abdullah Mokhzani ditemui pada sidang media Konsert Orkestra RTM Lagu Untukmu Ooi Eow Jin, di Angkasapuri, di sini, Khamis. Konsert berkenaan akan diadakan pada 15 Disember depan di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini. Tambahnya, Ooi yang hanya mempunyai dua orang cahaya mata telah kehilangan anak sulungnya beberapa tahun lalu akibat penyakit leukemia. Sementara itu, Mokhzani berkata, bagi menanggung keluarga, isterinya Datin Khaw Lean Kee, 75, bekerja sebagai pembantu di sebuah gereja di Petaling Jaya selain menyewa kediaman ihsan rumah ibadat tersebut. Katanya, sebelum mengalami penyakit alzheimer lima tahun lalu, Ooi sempat menyerahkan sebuah album yang memuatkan 25 buah lagu terbaik ciptaannya sebagai simpanan. Katanya, 15 lagu daripada koleksi tersebut akan dipersembahkan mengikut jalan cerita kehidupan komposer tersebut. "Nasib baik dia ada memberi sebuah album lagu-lagu ciptaannya kepada saya sebelum dia sakit, kalau tidak agak sukar kita mencari semua koleksi lagu itu. "Saya akan lihat semula kesesuaian lagu tersebut untuk dimainkan pada malam konsert itu dan ia disesuaikan dengan suara penyanyi yang akan menyampaikan lagu berkenaan," ujarnya. Antara lagu popular yang bakal dipersembahkan pada malam konsert ialah koleksi lagu ciptaan Ooi iaitu Gerimis Di Lautan, Lagu Untukmu, Masa Berlalu, Kisah Gadis Sepi, Hati Yang Rapuh dan Dia Ibuku. Beberapa artis popular bakal menjayakan konsert tersebut seperti Tomok, Salamiah Hassan, Datuk Dahlan Zainuddin dan Rahimah Rahim. Gambar kenangan Ooi Eow Jin bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Ketika ini Ooi berusia 27 tahun. Gambar ihsan The Majestic Hotel Kuala Lumpur. Bagi menjayakan acara itu sumbangan korporat dan orang perseorangan boleh disalurkan kepada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di Tabung Ooi Eow Jin menerusi akaun 3108024130 (Public Bank). "Kita berharap orang ramai yang prihatin dapat membantu sedikit sebanyak untuk meringankan beban Ooi sekeluarga. "Kita merancang untuk menyerahkan hasil sumbangan itu pada malam konsert tersebut," katanya. Ooi Eow Jin memulakan kerjayanya dengan Orkestra RTM pada 1963 hingga 1983. Beliau berada pada kemuncak kerjayanya sebagai pengarah muzik di TV3 pada 1984. Kemudian, Ooi menjadi Pegawai Kebudayaan di sebuah universiti pada 1989 dan menjadi tenaga pengajar di Universiti Putra Malaysia dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Kerjaya terakhirnya ialah sebagai pemain piano secara solo di Hotel Majestic dekat sini sehingga Jun lalu.