suria

Keluarga Minta Peminat Terus Doakan Siti Hamil

Siti janji untuk kongsi berita jika dia benar-benar hamil.
PETALING JAYA: Penyanyi dan juga kakak kepada Datuk Siti Nurhaliza, Siti Saida berkata belum ada berita gembira untuk disahkan mengenai laporan kehamilan penyanyi tersohor itu pada malam Ahad.

Siti Nursaida Tarudin,39, berkata, sebagai kakak, dia sentiasa mendoakan perkara yang diimpikan oleh adiknya itu menjadi kenyataan satu hari nanti.

"Saya sendiri terkejut bila baca laporan itu dan bertanya sendiri dengan dia (Siti Nurhaliza) malam Ahad, namun setakat ini dia tidak beritahu apa-apa berita kepada keluarga. Kalau ada berita baik itu dia sendiri akan umumkan.

"Sebagai kakak, saya mendoakan perkara baik itu setiap hari agar dia cepat dikurniakan cahaya mata," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, pada Isnin.

Siti Saida harap peminat terus doa terbaik.


Saida berkata demikian ketika diminta mengulas laporan isteri Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 56, itu diserbu media selepas sebuah portal berita mengeluarkan laporan kononnya penyanyi berusia 36 tahun itu kini hamil.

Sementara itu, pada malam Ahad, Siti berjanji akan berkongsi berita gembira tersebut sekiranya beliau benar-benar disahkan hamil.

Dalam pada itu, mengulas tentang amalan pemakanan susu kambing dan kurma yang dimuat naik dalam Instagram milik Siti yang menimbulkan spekulasi, Saida berkata penyanyi itu tidak pernah putus untuk berusaha untuk mendapatkan cahaya mata.

"Usaha mendapatkan cahaya mata memang tidak pernah putus, cuma rezeki sahaja kita tidak tahu bila Allah akan beri.

"Apa-apa pun kita doakan yang terbaik buat dia," ujarnya.

Sementara itu, sejak khabar tentang kehamilan penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu tersebar, laman Instagram miliknya menerima ratusan ucapan tahniah daripada netizen.

Rata-rata pengikut mengharapkan berita baik yang tersebar itu benar-benar menjadi kenyataan.

Siti dan Khalid telah melangsungkan perkahwinan pada 2006.

Siti Nurhaliza, Siti Saida

Artikel Lain