suria

Erma Fatima Selit Kritikan Sosial Dalam Teater Muzikal 'Mak Cun'

Teater muzikal Mak Cun dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 13 sehingga 22 November depan. Foto THE STAR/AZLINA ABDULLAH

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Erma Fatima menyifatkan teater muzikal Mak Cun arahannya bukan sekadar hiburan biasa sebaliknya sarat dengan pengajaran berguna kepada penonton.

Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 47, berkata, atas dasar itu juga dia banyak menyelitkan kritikan sosial terutamanya berkaitan dengan masyarakat di negara ini dalam memperkukuhkan pengisian cerita yang ingin disampaikan agar tidak kelihatan kosong.

"Pengajaran dalam sesuatu penceritaan memainkan peranan penting dan sebab itu saya memasukkan kritikan sosial dalam Mak Cun sebagai renungan bersama ketika menonton.

"Ia bukan sekadar hiburan semata-mata sebaliknya ada mesej yang ingin disampaikan dan ia dekat dengan masyarakat kita," katanya ketika ditemui selepas pementasan malam pertama teater muzikal Mak Cun di Panggung Sari, Istana Budaya dekat sini pada malam Jumaat lalu.

Erma berkata demikian sebagai respon kononnya teater muzikal itu seolah-olah menyindir pihak tertentu apabila menampilkan babak mengisahkan seorang suami berhasrat menjual tanah milik isteri pertama demi memuaskan hati isteri muda.

Persembahan mantap barisan pelakon teater muzikal Mak Cun.

Bagaimanapun Erma menyangkal cuba mengambil kesempatan untuk menyindir pihak tertentu dalam teater berkenaan.

"Ia bukan ditujukan kepada sesiapa sebaliknya seperti saya katakan tadi ia adalah untuk renungan bersama dan situasi itu antara yang sering terjadi dalam masyarakat," jelasnya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai gandingannya bersama Fauziah Ahmad Daud buat pertama kali selepas 20 tahun, Erma berkata, ia adalah satu penghormatan buat dirinya dapat berada di atas pentas sama dengan pelakon tersebut.

Malah kata Erma, persembahan yang diberikan oleh Fauziah atau lebih mesra dengan sapaan Ogy cukup mengagumkan biarpun peranannya tidak besar dalam teater itu.

"Apa yang saya boleh kata tentang Kak Ogy selain beliau telah memberikan yang terbaik pada persembahan pembukaan dan bergandingan dengannya adalah satu penghormatan," katanya.

Babak di antara pelakon Datuk Rahim Razali dan Datin Seri Umie Aida. 

Sementara itu, Ogy berkata, teater muzikal Mak Cun adalah sebuah pementasa yang cukup menghiburkan dan tenaga positif daripada barisan pelakon menghidupkan lagi jalan cerita yang ingin disampaikan.

Malah kata Ogy, dia juga dapat merasai keserasian bersama Erma seperti mana ketika mereka bergandingan dalam telefilem Pengantin Popular 20 tahun lalu.

"Mak Cun terdapat pelbagai elemen di dalamnya yang membuatkan ia cukup istimewa dan bukan sekadar hiburan semata-mata ditambah dengan barisan pelakon baharu dan lama yang cukup mantap.

"Malah gandingan bersama Erma ada kuasa positif dan keserasian kami masih ada seperti mana ketika dalam Pengantin Popular dahulu," jelasnya.

Selain Erma dan Ogy, teater muzikal Mak Cun turut menampilkan barisan pelakon seperti Datin Seri Umie Aida, Datuk Rahim Razali, Ungku Ismail, Balkish Semundur Khan, Betty Rahmad dan Dafi Ismail.

Ia sedang dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya dari 13 November sehingga 22 November depan.

Mak Cun, Erma Fatima

Artikel Lain