PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin pada Selasa berkongsi berita sedih mengalami keguguran kepada 3.9 juta peminatnya di laman sosial miliknya. Siti, 36, berkata, pada asalnya dia ingin berkongsi berita gembira mengenai kehamilannya itu tetapi selepas kandungan itu stabil, namun terpaksa reda dengan ketentuan Ilahi apabila dia keguguran di usia kandungannya itu dua bulan. Siti Nurhaliza membuat kenyataan terbuka mengenai keguguran kandungannya. "Mula-mula Siti ingin berkongsi cerita indah namun Siti pecaya semua dugaan ada hikmah dariNya. Memang tak mahu menafikan berita kehamilan kerana ia anugerah terindah yang lama Siti nantikan dan sudah pastinya peminat yang mendoakan juga. "Nak mengiakan pun takut kerana anugerah ini terlalu baru dan fragile untuk dihebahkan. Hanya memohon masa yang sesuai. Ternyata, Allah SWT pinjamkan anugerah ini untuk seketika," katanya. Tambah Siti, dia tetap bersyukur apabila sempat merasa untuk mengandungkan anaknya walaupun hanya untuk tempoh dua bulan sahaja.Malah dia percaya keguguran tersebut mungkin satu permulaan untuk dia mendapatkan cahayamata pada masa akan datang. "Sempat dua bulan Siti kandungkan dan Siti keguguran. Siti reda dan jauh di sudut hati amat bersyukur kerana Allah SWT beri Siti jawapan di atas doa Siti... Insya-Allah semoga ia permulaan untuk anugerah yang seterusnya,” katanya. Sehingga kini Siti mempunyai sebanyak 2.1 juta pengikut di Intagram manakala 1.8 juta di Twitter. Siti dan suaminya, Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwa berkahwin pada 21 Ogos 2006.