suria

Afdlin Shauki Jawab Juara Parodi Khas Kenang Allahyarham Yus (Jambu) Dikritik Tidak Wajar

Rakan baik Allahyarham Yus Jambu dan pengacara Datuk AC Mizal.

PETALING JAYA: Ketua Eksekutif Vision Works Afdlin Shauki menyangkal dakwaan segelintir pihak di laman sosial yang menganggap program Juara Parodi Khas Kenang Allahyarham Yus Jambu yang dianjurkan pada malam Jumaat itu tidak wajar seolah-olah meratap pemergian pelawak tersebut.

Afdlin yang juga juri tetap program tersebut, berkata, ia adalah salah satu cara untuk rakan-rakan pelawak meluahkan rasa sedih yang terbuku di hati mereka kerana kehilangan Yus atau nama sebenarnya Yussry Edoo pada 30 November lalu.

"Saya tidak kisah apa yang orang luar mahu cakap tentang program ini, bagi saya ia adalah ruang untuk kami yang sudah dianggap seperti keluarga untuk meluahkan segala perasaan sedih.

"Kalau orang luar fikir perkara negatif tentang program ini, itu hak mereka dan sila tutup televisyen atau tonton siaran lain," ujarnya kepada mStar Online.

Afdlin berkata demikian ketika diminta mengulas tentang beberapa pendapat segelintir pihak yang menganggap program mengenang Allahyarham Yus Jambu sebagai tidak dapat menerima hakikat pemergiannya.

Segelintir pengguna laman sosial mempertikaikan acara tersebut yang dikatakan tidak bermanfaat dan menyerupai cara agama lain.
 

Penyanyi Aishah turut memberi pandangannya tentang program berkenaan.

Sementara itu, Afdlin berkata, jika pertandingan Juara Parodi diteruskan sekalipun, belum tentu peserta yang menyertainya mampu melakukan persembahan kerana masih lagi bersedih kehilangannya.

"Inilah tempat untuk luahkan apa yang kami rasa dan kita tak mahu orang fikir kita tiada perasaan kepada arwah selepas kita kembali bekerja. Saya yakin jika tiada tempat untuk luahkan tempoh kesedihanakan lebih panjang.


"Secara jujurnya sejak mendapat berita kehilangan Yus, saya sendiri hingga sekarang tidak mampu untuk tersenyum biarpun ada peminat ajak bergambar," ujarnya.

Tambah Afdlin, tema minggu Juara Parodi Dalam Kenangan yang sepatutnya digunakan pada minggu ini akan dianjakkan kepada minggu hadapan.

Sementara itu, katanya, sehingga kini dia masih belum menerima keputusan untuk daripada kumpulan Kobis Pedas yang dianggotai oleh Allahyarham bersama gandingannya Tauke Jambu dan penyanyi Misha Omar untuk meneruskan pertandingan atau menarik diri.

Katanya, dia memberi kebebasan untuk kumpulan tersebut dan memahami kehilangan tersebut merupakan sesuatu yang agak sukar untuk dilalui.


Antara pelawak yang menjayakan Juara Parodi khas bagi mengenang kematian Yus (Jambu). Foto ihsan Faisal Hamid (Astro)


Dalam pada itu, Afdlin berkata dia melihat rakan baik Allahyarahm iaitu Tauke Jambu masih lagi bersedih. Katanya, dia cuba memberi semangat dan berkongsi perasaan yang sama ketika kehilangan rakan baiknya iaitu pelawak Harun Salim Bachik pada 8 Mac lalu.

"Apa yang Tauke lalui ketika kehilangan Allahyarham seperti apa yang terjadi pada saya dengan Allahyarham Harun Salim Bachik.

"Kami baru sahaja berbual semalam dan hari ini dia meninggal. Saya lihat Tauke masih lemah dan tidak seperti dia yang biasa kita kenal. Dia juga ada beritahu saya tentang kumpulan Jambu sudah tiada lagi tanpa Allahyarham," ujarnya.

Pelawak Yus Jambu atau nama sebenarnya Yussry Edoo, 39, meninggal dunia akibat sesak nafas di Hospital Selayang kira-kira pukul 12.30 pagi pada 30 November lalu.

Jenazah  dikebumikan  di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Nesam, Batu Pahat, Kangar, Perlis.

Juara Parodi turut dibintangi Zero, Mawi, Shuib, Mark Adam, Sam Bunkface,  Zoey, Shuk, Zahid, Zulin Aziz, Sherry Al-Hadad, Tomok, Rahim, Ajak, Datuk Hattan, Waris, Abam, Fad Bocey, Firman,  Azlee Senario, Lan Pet Pet, Black dan Achey.

Program Juara Parodi bersiaran setiap Jumaat pukul 10 malam di Astro Warna (Saluran132) dan Mustika HD (Saluran 134).

Artikel Sebelum

12 Lagu Ke Final AJL30

Artikel Lain