SHAH ALAM: Sebanyak 12 buah lagu terbaik layak ke Anugerah Juara Lagu 30 (AJL 30) selepas berentap di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 30 yang disiarkan secara langsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, malam Ahad. Lagu-lagu yang layak ke AJL 30 yang akan diadakan pada 24 Januari 2016 terdiri daripada Sampai Mati (Hazama), Potret (Akim & The Majistret), Assalamualaikum (Faizal Tahir), Biarkanlah (Drama Band), Hanya Namamu (Caliph Buskers) dan Knock Knock (Elizabeth Tan). Manakala Malam Ini Kita Punya (Bunkface), Angin Kencang (Noh Salleh), Bukan Hal Aku (Kaka Azraff dan Aliff), Mana Mungkin (Black), Not For Sale (Stacy) dan Tak Pernah Menyerah (Dayang Nurfaizah) turut dipilih untuk berentap pada peringkat akhir. Separuh Akhir Muzik Muzik 30 minggu ketiga ini turut menyaksikan persembahan lagu Dikoyak Waktu (Ronnie Hussein), Al Nura Yang 5 Dan 6 ( Mawi, Hazama dan Dali Filsuf), Siapa Diriku (Ayda Jebat), Kau Tercipta (Lah Ahmad), Nyawaku (Azmil) dan Linangan Terakhir (Forteen). Separuh Akhir Muzik Muzik 30 minggu ketiga turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Monalyssa dan Aizat Amdan menerusi lagu Dua Kaki Berlari. Program ini telah bersiaran selama tiga minggu berturut-turut yang bermula 22 November lalu dengan menyaksikan persaingan 30 buah lagu terbaik sepanjang tahun 2015. Kesemua lagu dalam peringkat separuh akhir dinilai oleh barisan juri professional iaitu Datuk Mokhzani Ismail selaku Ketua Juri, Helen Yap, Edry Hashim, Louque, Jennifer Thompson, Azmeer dan Taja (Meet Uncle Hussein). Ia disiarkan secara langsung di TV3.