KUALA LUMPUR: Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail memilih 14 buah lagu terbaik ciptaan komposer veteran, Datuk Ooi Eow Jin bagi menjayakan Konsert Lagu Untukmu... Datuk Ooi Eow Jin yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri pada malam Selasa. Mokhzani berkata, kesemua lagu berkenaan adalah daripada simpanan Ooi sendiri yang diserahkan kepadanya lima tahun lalu sebelum komposer terkenal itu disahkan menghidap penyakit Alzheimer. Lagu-lagu yang dipersembahkan menerusi konsert ini adalah daripada koleksi Ooi sendiri dipilih menerusi sebuah album yang menampilkan 25 lagu terbaik ciptaannya. "Ooi serahkan kepada saya album berkenaan beberapa tahun lalu untuk saya simpan dan seleksi lagu pada konsert ini adalah inspirasi daripadanya sendiri," katanya kepada mStar Online. Bob memberikan persembahan menerusi lagu Seniman Tua. Antara lagu yang dipersembahkan pada malam tersebut adalah Serunai Perindu, Kisah Gadis Sepi, Terkenang Dan Masa Berlalu, Di Ibuku, Jika Begini, Hati Yang Rapuh dan Gerimis Di Lautan. Artis yang terlibat memberi penghormatan kepada Ooi pada persembahan itu adalah Salamiah Hassan, Rahimah Rahim, Datuk Ahmad Nawab, Datuk Dahlan Zainuddin, Tomok, Adibah Nor, Aisha Safia, Ernie Zakri dan Siso. Konsert itu bakal ditayangkan bersempenan kedatangan Tahun Baru 2016 di RTM. Dalam pada itu, Mokhzani berkata, konsert berkenaan diberi nama Lagu Untukmu sebagai memperingati judul lagu pertama yang diciptanya untuk penyanyi Dahlan Zainuddin pada era 70-an. Malah kata Mokhzani, konsert pada malam itu turut dibahagikan kepada beberapa segmen seperti pembukaan, Era Awal 70-an, 80-an dan Lagu Tema Filem. Rahimah Rahim. "Mungkin ramai tidak tahu Ooi banyak mencipta lagu untuk filem dan kita tampilkan beberapa karya yang meninggalkan kesan dihati peminat sehingga hari ini," katanya. Persembahan pada malam itu turut diringi oleh pemuzik Orkestra RTM dengan kemunculan istimewa pemuzik asal dari era karier Ooi di RTM iaitu Datuk Dr Johari Salleh dan pemain piano, Richard Hoon. Sementara itu, pada konsert sama, pihak Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) turut menyerahkan replika cek berjumlah RM40,000 kepada Ooi hasil kutipan bagi membantunya yang kini berada dalam keadaan daif. Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, berkata, pihaknya teruja dengan keperihatinan masyarakat dan badan korporat terhadap masalah dihadapi Ooi dan sedia menghulurkan bantuan. Tomok. "Sehingga hari ini jumlah kutipan sebenarnya telah mencecah RM50,000 dan sumbangan masih kami terima daripada orang ramai dan korporat yang akan kita sumbangkan terus kepada Ooi dan keluarga," katanya. Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyumbang terus ke akaun Public Bank Persatuan Karyawan iaitu 3108024130. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 013-2245717 (Anuar) atau 014-7176276 (Amad).