suria

Adam Shah Mengaku Silap Layan Mesej Wanita Sehingga Dimarah Isteri

Adam bersama isteri dan anak mereka.
PETALING JAYA: Pelakon Adam Shah berkata, pendedahan gambar paparan skrin perbualannya dengan seorang wanita yang menimbulkan kemarahan isteri, Fatin Afifah adalah satu salah faham selain mengaku silap melayan peminat berkenaan.

Adam, 33, menjelaskan, perkara sebenar yang berlaku apabila dia cuba menolak secara baik perlawaan wanita yang merupakan peminat fanatik untuk bertemu dengannya.

"Apa yang saya berbalas mesej di Instagram itu sebenarnya saya menolak untuk berjumpa dengan cara baik. Cuma masa itu tak berkesempatan untuk terangkan pada isteri. Lagi pun orang tengah marah, jangan ditambah. Alhamdulillah, bila isteri dah sedikit cool... dia pun dah faham keadaan sebenar.

"Namun, saya tetap salahkan diri saya sebab melayan dan berbalas mesej wanita itu di Instagram," ujarnya kepada mStar Online, pada Jumaat.

Adam diminta mengulas tentang status dan foto perbualan yang dimuat naik oleh isterinya pelakon filem Tentang Bulan  iaitu Fatin Afifah atau nama sebenarnya Fatin Nur Afifah Shamsudin, malam Khamis.

Mesej yang dipaparkan oleh isteri Adam menerusi Instagram, namun telah dipadamkan beberapa jam selepas itu.

Foto tersebut merupakan paparan skrin perbualan yang berlaku antara Adam bersama seorang wanita yang sedang merancang untuk bertemunya.

Dalam pada itu, Adam berkata, perkara yang berlaku merupakan pengajaran buat dirinya untuk menjadi seorang suami dan bapa yang lebih baik.

"Ini pengajaran untuk saya juga, Allah uji di saat saya tersasar dari landasan. Apa-apa pun saya tetap bersyukur kerana isteri menegur dari awal.

"Saya sentiasa berdoa agar rumah tangga saya dilindungi dan diberkati. Saya sayang dan cinta isteri dan anak-anak. Saya mohon pada semua yang membaca dapat mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga," ujarnya.

Sementara itu, Adam juga mengakui dia menerima pelbagai kecaman daripada pengguna laman sosial dengan pelbagai kata-kata kesat.

Dia meminta agar tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan ini untuk terus melaga-lagakan mereka.

"Sebagai public figure akan sentiasa ada peminat yang fanatik. Peminat-peminat isteri ada yang menghentam, maki hamun saya... Saya tak ambil hati pun, saya yang buat salah tak sepatutnya menyalahkan orang lain pula. Cuma saya mohon semua jauhi dari sifat batu api, takut benda kecil akan menjadi besar," ujarnya.

Adam mendirikan rumah tangga dengan Fatin Nur Afifah Shamsudin pada 21 Disember 2013.

Pasangan ini dikurniakan seorang perempuan pada 15 Jun lalu.

Adam Shah, Juvana

Artikel Lain