PETALING JAYA: Pelakon Hairul Azreen, 27, mengumumkan bahawa isterinya pelakon Hanis Zalikha, 25, kini sedang mengandung empat bulan. Pasangan tersebut yang kini sedang menunaikan umrah memberitahu berita gembira itu menerusi laman Instagramnya pada Sabtu. "Dua tahun lalu di sini saya berdoa untuk dijodohkan dengan Hanis Zalikha. Kini saya kembali bersama nikmat yang Allah bersama isteri saya. "Alhamdulillah di tempat pertemuan Adam dan Hawa ini saya ingin berkongsi kegembiraan dengan anda semua, isteri saya sedang mengandung empat bulan," ujarnya. Status yang dimuat naik itu mendapat lebih 24,733 like dan 1,000 komen ucapan tahniah daripada pengikut laman sosial Instagramnya. Rata-rata pengguna laman sosial mendoakan kebahagiaan pasangan ini. Pasangan Hairul Azreen dan Hanis Zalikha selamat diijabkabul pada 5 Jun 2015 di kediaman wanita itu di Bukit Jelutong dekat sini.