KUALA LUMPUR: Penyanyi Amy (Search) mengesahkan anak sulungnya, Nabila Huda bakal mendirikan rumah tangga sempena cuti hari Krismas iaitu pada 25 Disember ini. Amy bagaimanapun berkata, dia tidak tahu lebih lanjut mengenai majlis pernikahan Nabila dengan teman lelakinya yang merupakan pengurus restoran Kulcats. "Saya hanya diberitahu anak saya akan berkahwin pada 25 Disember ini. "Selebihnya, semua persiapan diuruskan oleh ibu Nabila," katanya kepada mStar Online. Amy ditemui pada sidang media Cahaya Jiwa Amy Search dan Saiful Kadir di Istana Budaya di sini pada Isnin. Difahamkan, majlis akad nikah Nabila itu akan diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada pukul 9 pagi. Sementara itu ditanya mengenai personaliti teman lelaki Nabila, Amy berkata, pemuda berkenaan dilihat sebagai seorang yang baik dan menghormati orang tua. "Setakat ini saya lihat lelaki itu seorang yang baik dan hormat pada orang di sekelilingnya. "Saya harap dia dapat bahagiakan anak saya, Insya-Allah," tuturnya. Nabila, 31, sebelum ini pernah berkahwin dengan Zaidi Zailani, 34, namun mereka bercerai pada 2011 selepas tiga tahun bersama. Hasil perkahwinan itu mereka mendapat seorang anak perempuan iaitu Keisha Laila yang kini berusia lima tahun.