suria

Dafi Gabungkan Lima Artis Dalam Konsert 5 Divo

Ramli MS (dari kiri), Dafi, Hafiz Suip terlibat dalam konsert 5 Divo. Foto IBRAHIM MOKHTAR
KUALA LUMPUR: Seramai lima penyanyi lelaki dari tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia bakal disatukan dalam sebuah konsert khas iaitu 5 Divo pada 16 Febuari depan.

Pengarah Urusan, Laugh Out Loud Entertainment, Gadadfi Ismail Sabri atau Dafi, berkata, konsert gabungan itu diadakan sebagai simbolik harmoni dan penyatuan serantau menerusi muzik khas buat peminat.

"Alhamdulillah selepas beberapa bulan perancangan LOL Entertainment bakal menghimpukan lima artis ternama di rantau ini dalam sebuah konsert yang sama.

"Objektifnya selain berhibur dengan barisan artis terbaik konsert berkenaan juga adalah simbolik penyatuan tiga negara menerusi muzik," katanya kepada mStar Online.

Dafi selaku Laugh Out Loud Entertainment menganjurkan konsert 5 Divo. 

Dafi ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Bukit Damansara di sini, Selasa.

Lima artis lelaki yang bakal menggegarkan konsert berkenaan adalah Hafiz Suip, Hazama, Afgan, Judika dan Taufik Batisah.

Konsert 5 Divo bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada pukul 8.30 malam.

Dalam pada itu, Dafi berkata, pemilihan kelima-lima artis berkenaan adalah berdasarkan populariti, pengaruh dan kejayaan mereka dalam karier masing-masing yang bukan sahaja di negara sendiri tetapi di peringkat serantau.

Pemilihan nama konsert 5 Divo juga kata Dafi bersesuaian dalam menggambarkan kehebatan mereka dan berjaya menempa nama dalam usia muda.

"Perkataan Divo itu sama dengan Diva tetapi digunakan untuk lelaki dan pihak kami lihat ia sesuai untuk menggambarkan semua penyanyi terlibat.

"Mereka adalah yang terbaik dan paling penting masih muda. Itu yang ingin kami ketengahkan dalam konsert itu nanti," ujarnya.

Afgan.

Tambah Dafi, persembahan mereka pada malam itu nanti akan diiringi oleh pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS menerusi gubahan muzik orkestra.

Pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini turut menaja pakaian untuk kelima-lima penyanyi itu nanti.

Sementara itu, Dafi mengakui sukar untuk pihaknya mendapatkan tajaan bagi merealisasikan projek berkenaan namun dia dan pasukannya tidak mahu mengalah sebelum mencuba.

Bagaimanapun kata Dafi, setakat ini ada beberapa pihak bersetuju untuk bekerjasama bagi menjayakan konsert itu.

"Memang susah dapatkan tajaan tetapi ini adalah projek besar pertama LOL Entertainment dan saya tidak boleh berputus asa walaupun sedar dengan keadaan ekonomi tidak menentu tidak ramai yang ingin bekerjasama.

"Tetapi Alhamdulillah masih ada pihak menunjukkan minat dan setakat ini kami berada di landasan yang betul," katanya.

Konsert 5 Vivo turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia yang diterajui oleh presidennya, Shahrul Nasrun Kamarudin.


Taufik Batisah.

Tiket bagi menyaksikan konsert itu dijual pada harga RM988, RM888, RM588, RM388, RM188 dan RM128.

Manakala bagi tiket VIP dijual pada harga RM1,188 termasuk peluang bertemu lima artis berkenaan di belakang pentas, mendapat poster bertandatangan dan baju T eksklusif.

Tiket konsert 5 Divo boleh didapati menerusi laman web www.ticketpro.com.my dan di semua rangkaian kedai muzik Rock Corner bermula 28 Disember ini.

Peminat berpeluang mendapat potongan sebanyak 20 peratus menerusi pembelian sehingga 12 Januari 2016.

Dafi, 5 Divo

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain