SHAH ALAM: Pelakon Nabila Huda selamat bergelar isteri kepada pengurus restoran, Mohd Izwan Johar dengan sekali lafaz kira-kira pukul 9.20 pagi pada Jumaat. Majlis pernikahan pasangan berkenaan berlangsung dalam suasana sederhana tetapi meriah di Masjid Sultan Salehuddin Aziz Shah di sini dengan dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak. Pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapanya Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search, 57, disaksikan oleh jurunikah Masjid Sultan Salehuddin Aziz Shah, Shah Alam Khairuddin Haiyon. Keisha kelihatan ceria pada hari pernikahan ibunya, Nabila. Mohd Izwan, 32 menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya. Pada majlis sama, Nabila, 31, turut memberi tujuh dulang hantaran manakala dibalas lima oleh pihak lelaki. Sementara itu Nabila ketika ditemui bersyukur majlis berkenaan berjalan lancar dan berharap perkahwinan keduanya itu akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Majlis akad nikah disempurnakan oleh bapa Nabila sendiri iaitu penyanyi Amy Search. "Alhamdulillah segalanya berjalan lancar seperti dirancangkan dan seperti mana pasangan lain saya berharap ini adalah perkahwinan terakhir dan kekal sehingga akhir hayat," katanya. Pada majlis berkenaan, pasangan pengantin kelihatan anggun dengan persalinan berwarna putih. Sementara itu, majlis resepsi pasangan itu akan diadakan pada malam Sabtu di kediaman pihak lelaki di Shah Alam. Pasangan ini menyulam cinta sebelum mengambil keputusan berkahwin. Terdahulu, Nabila sebelum ini pernah berkahwin dengan Zaidi Zailani, 34, namun mereka bercerai pada 2011 selepas tiga tahun bersama. Hasil perkahwinan itu mereka mendapat seorang anak perempuan iaitu Keisha Laila yang kini berusia lima tahun.