suria

Ahmad Idham Guna Strategi Baru Promosi 'Mat Moto' Elak Dikaitkan Dengan Pekin

Ahmad Idham.

PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah filem Mat Moto, Ahmad Idham sengaja tidak mempromosikan karyanya itu dengan mengadakan majlis pelancaran kerana khuatir sekiranya isu perselisihan faham dengan aktor Pekin Ibrahim sebelum ini akan berbangkit.

Justeru itu, Ahmad Idham berkata, dia menggunakan strategi lain mempromosikan filem tersebut termasuk menerusi laman sosial dan Youtube.

"Saya tahu, apabila Mat moto dilancarkan secara formal, para media akan bertanya tentang isu saya dengan Pekin. Saya tak salahkan mereka kerana itu kerja mereka.

"Tetapi sebagai seorang penerbit, saya harus mencari jalan bagaimana mahu menarik perhatian umum menonton filem ini.

"Jadi saya menghubungi beberapa wartawan untuk menguar-uarkan Mat Moto selain menggunakan konsep promosi di laman sosial menerusi komuniti (Facebook) Mat Moto di Johor dan Kuala Lumpur," katanya kepada mStar Online pada Khamis.

Pekin
Ahmad Idham berkata demikian selepas ditanya mengenai filem arahan dan terbitan syarikat miliknya iaitu Alpha Motion Pictures yang sudah pun mula ditayangkan pada 24 Disember, tanpa sebarang promosi di media arus perdana.

Terdahulu, Ahmad Idham pernah meluahkan rasa terkilan terhadap Pekin kerana mengkhianatinya berhubung usaha sama filem Mat Moto yang sepatutnya dihasilkan bersama.

Bagaimanapun Ahmad Idham membuat keputusan meneruskan penerbitan Mat Moto tanpa melibatkan Pekin manakala aktor itu juga tampil dengan konsep dan judul yang sama di bawah terbitan Viper Studios & Skop Productions yang akan ditayangkan pada 14 Januari depan.

Dalam pada itu, Ahmad Idham berkata, dia mengambil perkara itu secara positif dan percaya dia dan Pekin mempunyai matlamat yang sama iaitu ingin membezakan komuniti golongan mat rempit dan mat motor.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad Idham berkata dia kini sibuk menguruskan Ahmad Idham Film Academy (AIFA)  selain sibuk dengan kerja-kerja produksi.

"Alhamdulillah, semakin ramai yang mendaftar di AIFA dan itu menunjukkan satu perkembangan positif untuk melatih anak-anak muda kita di bidang penerbitan.

"Selain itu saya juga sedang menyiapkan projek drama untuk siaran TV3 di slot Lestari," ujarnya.




Ahmad Idham, Pekin, Mat Moto

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain