suria

Gurau Pesawat MH370 Ditemui, Pelakon Janna Nick Mohon Maaf

Janna Nick sedia terima teguran untuk memperbaiki diri. Foto diambil daripada Instagram milik Janna.
PETALING JAYA: Pelakon baharu Janna Nick menyifatkan perbuatannya memuat naik status bertujuan untuk bergurau pada Sabtu lalu mengenai nahas pesawat MH 370 merupakan satu kesilapan besar dan memohon maaf mengenai perkara itu.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 20, berkata, dia tidak berniat untuk mengecilkan hati mana-mana pihak dan pada masa sama tidak sangka status berkenaan menjadi viral sehingga menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak.

"Asalnya saya sedang menonton filem Hindustan iaitu Dilwale. Kemudian saya mengambil gambar sebuah kapal terbang kosong menerusi salah satu babak filem tersebut dan terus memuat naik di Twitter kerana menganggap perkara itu lawak.

"Selepas selesai menonton, saya tengok semula Twitter, dan mendapat kritikan teruk daripada ramai orang. Dan saya terus memadamkan gambar tersebut.

"Diakui, salah saya kerana tidak prihatin dengan isu serius seperti ini dan saya memohon maaf atas kesilapan ini," katanya yang dihubungi mStar Online Ahad.

Status yang dimuat naik oleh Janna di Twitter pada Sabtu lalu.

Sabtu lalu, Janna telah memuat naik gambar daripada sedutan filem Dilwale yang menampilkan pelakon Datuk Shah Rukh Khan dan Kajol menari di atas sebuah pesawat lama, dengan kapsyen ringkas "MH 370 Ditemui" di akaun Twitter miliknya.

Perkara itu membuatkan ramai yang menegur dan marah pelakon tersebut kerana menyifatkan dia langsung tidak sensitif dengan keluarga mangsa tragedi yang terlibat.

Sementara itu, Janna yang popular menerusi drama Kau Aku Kita (TV3) berharap, kesilapan seperti itu tidak akan berulang lagi.

Kata Janna, dia seorang wanita yang bersikap terbuka dengan kritikan dan segera memadamkan gambar-gambar di laman sosial jika menerima teguran daripada pengikut-pengikutnya.

"Saya masih muda dan suka buat perkara yang kita sendiri tidak sedar ia adalah satu kesalahan.

"Tetapi saya juga seorang yang mudah menerima teguran dan akan memadamkan gambar-gambar yang membuatkan pengikut-pengikut kurang senang.

"Kadang-kadang saya lupa bahawa saya ini adalah seorang selebriti di mana orang perhatikan setiap gerak geri kita," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Janna akan memulakan penggambaran drama terbitan Zeel Production berjudul Mek Kelate. Aktres Kilafairy turut terbabit dalam drama tersebut.

Selain Kau Aku Kita, Janna pernah terlibat dengan drama Jodoh, Jodoh 2, Keluarga Karaoke, Hidayahmu Ramadhan, Syurga Di Wajahmu, Abang Sado Jemur Kain, Syurga Nur dan Cinta Vlog.
Janna Nick

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain