suria

Sorotan 2015: Kontroversi & Cerai Artis Jadi Perhatian

Zizan Razak antara selebriti yang banyak terpalit dengan kontroversi sepanjang 2015.
PETALING JAYA: Kisah kontroversi dan perceraian dalam dunia hiburan bukan sesuatu yang asing malah ia bagai tidak dapat dipisahkan.

Tahun 2015 menyaksikan pelbagai kontroversi melibatkan artis tempatan dan antara paling mendapat perhatian adalah Zizan Razak yang didakwa melanggan pelacur ketika berkunjung ke Indonesia.

Tidak terhenti di situ, Zizan tiba-tiba mengejutkan peminat apabila memberitahu bakal berkahwin namun pengumuman itu lenyap tanpa perkhabaran terbaharu.

Bulan Oktober menyaksikan paling banyak kisah kontroversi dicatatkan kalender hiburan termasuk pelakon Ammar Alfian, Atikah Suhaimi dan Idris Khan didakwa terlibat dalam video seks.

Kisah perceraian di kalangan artis bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu. Moga-moga tiada selebriti ke mahkamah pada tahun 2016!

Berikut adalah himpunan beberapa kisah perceraian dan kontroversi yang menjadi perhatian sepanjang 2015.


Riezman Khuzaimi & Kartina Ayoob (13 Januari 2015)

Pelakon terkenal era 90-an Riezman Khuzaimi sah bercerai dengan isterinya, Kartina Ayoob di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 13 Januari 2015.

Riezman ketika memberitahu mahkamah keputusan untuk bercerai itu dibuat selepas tiada persefahaman di antara mereka berdua.

Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin yang mendengar kes itu membenarkan permohonan tersebut dan Riezman atau nama sebenarnya Mohd Rizman Mohd Khuzaimi, 45, melafazkan talak satu terhadap Kartina dalam keadaan sebak.



Diana Rafar & Zamarul Hisham (14 Januari 2015)

Tiada angin, tiada ribut rumah tangga pasangan Diana Rafar dan Zamarul Hisham tiba-tiba menjadi perhatian apabila mereka mengakui sudah bercerai pada 24 Januari.

Tidak menyatakan sebab tertentu membawa kepada perceraian itu bagaimanapun cinta di antara mereka masih kuat sehingga mengambil keputusan kembali rujuk pada 14 Febuari lalu.

Berkahwin sejak 2009, Diana dan Zamarul dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Kashfi Haiqal, lima tahun.



Datuk Eizlan Yusof & Vie Santie (16 Febuari 2015)

Pelakon Datuk Eizlan Yusof dan isterinya, Datin Vie Santie Harun, 29, sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur pada 16 Febuari lalu.

Lafaz talak yang dibuat Eizlan, 44, pada 28 September tahun lalu diputuskan oleh Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin yang mendengar kes itu sebagai sah dan mengikut hukum syarak.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Vie Zaara; Zareef Yusof dan V Zaalia berusia antara dua hingga enam tahun.



Wan Maimunah & Makmol Saimon (April 2015)

Dramatis Wan Maimunah mengejutkan peminatnya apabila dia dilaporkan sudah bercerai dengan suaminya, Makmol Saimon sekitar April lalu.

Bagaimanapun, Wan Maimunah atau nama sebenarnya Wan Maimunah Abdul Aziz, 62, enggan mendedahkan punca perceraian tersebut.

Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2013 di Johor Baharu, Johor.



Raja Farah & Megat Bashirun Qhuyum Zakaria (25 Mei 2015)

Pelakon Raja Farah Raja Aziz, 27, bercerai talak satu dengan Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, 30, selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.

Pasangan itu bercerai dalam prosiding tertutup di mahkamah rendah syariah Wilayah Persekutuan pada 25 Mei lalu.

Mereka bernikah pada 12 November 2010 di Bukit Jelutong. Bagaimanapun, hasil perkahwinan itu, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Raja Farah bagaimanapun telah berkahwin buat kali kedua dengan Iskandar Ismail, 33, pada 6 September lalu.



Fezrul Khan & Noorhafizah Zulkafli (19 Ogos 2015)

Rumah tangga yang dibina sejak 2012 hancur apabila pelakon Fezrul Khan dan isterinya, Noorhafizah Zulkafli sah bercerai talak satu pada 19 Ogos lalu.

Enggan mendedahkan punca sebenar perceraian tersebut, Fezrul bagaimanapun ingin memberi fokus kepada anaknya, Farrel Khan yang kini berusia dua tahun.



Yatt Hamzah & Abdul Mutalib Shukor (25 Ogos 2015)

Pelakon Yatt Hamzah pernah menyatakan kekesalan memfailkan perceraian terhadap bekas suaminya, Abdul Mutalib Shukor di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 24 Oktober tahun lalu.

Yatt juga menarik balik permohonan cerai itu pada 12 Mac lalu dan ingin menyelesaikan masalah rumah tangga mereka dengan baik.

Bagaimanapun jodoh mereka tidak panjang dan pasangan berkenaan disahkan bercerai 25 Ogos lalu.

Berkahwin pada 29 Mac 2009, hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak perempuan Suci Hanania Malika berusia lima tahun.

KONTROVERSI 2015


Diana Danielle Dikritik Kerana Baju Dalam (Mac 2015) 

Pelakon Diana Danielle bertindak berani apabila tampil seksi sebagai muka depan majalah berbahasa Inggeris sehingga menimbulkan kemarahan peminatnya.

Ramai meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Diana apabila pakaian digayakan menampakkan baju dalam selain menutup tubuhnya menggunakan bendera Amerika Syarikat.

Diana bagaimanapun enggan memperdulikan tentang kritikan diberikan kepadanya malah suaminya, Farid Kamil tidak mahu memberi komen kerana menganggap isu berkenaan terlalu peribadi.

Bagi meredakan keadaan, pengurusnya, Fadzil Zahari tampil membuat permohonan maaf bagi pihak Diana.



Dakwaan Zizan Razak Hantar Mesej Lucah, Langgan Pelacur (April 2015)

Tahun 2015 memberi cabaran buat pelakon dan pelawak Zizan Razak apabila pelbagai kontroversi melibatkan namanya diperkatakan.

Belum reda isu hubungannya dengan aktres Emma Maembong putus ditengah jalan, Zizan dituduh sebagai individu menghantar mesej lucah kepada beberapa wanita.

Tidak cukup dengan itu, dia dikatakan telah melanggan pelacur ketika berada di Indonesia sebelum mengejutkan peminat apabila dia mengumumkan bakal berkahwin.

Bagaimanapun, pelakon berusia 31 tahun itu mengambil tindakan berdiam diri terhadap pelbagai spekulasi diperkatakan terhadapnya selain mengelak daripada memberikan kenyataan kepada media.

Namun segala kontroversi melandanya tidak membuatkan Zizan mengalah dan memberi fokus terhadap kerjayanya sehinggakan filem terbaharu lakonannya Polis Evo mendapat kutipan sebanyak RM18 juta.



Sharifah Shahora Dedah Kecurangan Suami Di Laman Sosial (Jun 2015)

Pada 2 Jun lalu, dramatis Sharifah Shahora membuat pendedahan di laman sosial Instagram dan Twitter mengenai kecurangan suami yang mempunyai hubungan dengan seorang wanita bernama Yanie.

Perbuatan Raja Mukriz dapat dihidu selepas Sharifah Shahora terbaca beberapa mesej kiriman wanita berkenaan sehingga membuatkan rumah tangga mereka menjadi kontroversi, ibarat retak menanti belah.

Bagaimanapun selepas beberapa minggu kejadian itu, kehancuran hati Sharifah Shahora terubat selepas berjaya dipujuk suami.



Pelakon Baharu Fara Mendoza Dedah Digoda Fizz Fairuz (Ogos 2015)

Gara-gara tidak tahan dengan sikap pelakon Fizz Fairuz, aktres baharu Fara Mendoza tekad mendedahkan sikap Fizz yang cuba memikatnya menerusi perbualan menerusi aplikasi sosial WeChat.

Fara Mendoza, 25, berkata, niat sebenar dia mendedahkan perbualan tersebut supaya aktor itu sedar dan berhenti daripada terus mengumpannya dengan wang ringgit dengan tujuan yang tidak baik.

Fizz bagaimanapun menyifatkan tuduhan aktres berkenan kononnya dia cuba memikat wanita itu menerusi adalah tidak masuk akal.

Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainil Abidin, 36, berkata, dia terkejut dengan gosip yang tersebar itu lebih-lebih lagi dia langsung tidak mengenali wanita berkenaan.



Asfan Ditumbuk Adik Ipar Sendiri (September 2015)

Penyanyi Asfan mendedahkan ditumbuk oleh adik iparnya yang juga pelakon Bil Azali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika sedang menunggu isteri dan anak-anaknya pulang daripada bercuti.

Bil menerusi kenyataannya pula memberitahu dia bertindak menumbuk abang iparnya itu kerana tidak tahan melihat dia berlagak seperti orang bujang dan mengabaikan isteri dan anak-anaknya.



Rozita Che Wan Tarik Diri Juri AF Kerana Edry Abdul Halim (September 2015)

Akademi Fantasia sentiasa tampil dengan kejutan dan pada edisi terbaharunya tahun ini, pengkritik dan aktres Rozita Che Wan mengambil keputusan menarik diri daripada program berkenaan.

Rozita mendakwa diherdik oleh Edry gara-gara pengetua AF itu tidak berpuas hati dengan komennya terhadap pelajar-pelajar program berkenaan.

Menurut Che Ta, apa yang dibuat di AF 2015 adalah tangunggawabnya sebagai pengkritik namun herdikan Edry di khalayak ramai adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

Sementara itu, Edry pula menafikan dia mengherdik Che Ta seperti yang diperkatakan, sebaliknya sekadar memberi teguran kerana rasa tidak puas hati dengan komen yang diberikan.

Malah Edry juga berasa tidak menyesal dengan tindakannya menegur aktres itu.



Isu Dadah Zamani & Lari Dari Pusat Pemulihan (Oktober) 

Nama bekas vokalis kumpulan Slam iaitu Zamani kembali hangat diperkatakan selepas dia ditahan memiliki dan mengambil dadah jenis heroin dan morfin dengan berat bersih 0.6 gram pada Januari lalu.

Bagaimanapun penyanyi itu bersama pembantu peribadinya yang turut ditahan ketika itu mengaku bersalah pada Mei lalu di Mahkamah Majistret Ampang dan dikenakan denda sebanyak RM5,500 setiap seorang selepas mereka mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.

Tidak terhenti di situ, Zamani pada Oktober lalu didakwa telah melarikan diri dari pusat pemulihan dadah iaitu Rumah Pengasih di ibu negara.

Penyanyi itu dikesan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) menaiki sebuah kereta berwarna putih bersama dua individu.

Zamani kemudiannya tampil dalam satu sidang media menjelaskan tindakannya keluar dari Rumah Pengasih dibuat selepas tiada keputusan mengenai hajatnya selepas satu perbincangan dilakukan bersama pihak pengurusan tempat pemulihan dadah itu.

Zamani atau sebenarnya Zamani Ibrahim, 44, berkata, dia yakin bahawa dirinya sudah bersedia berhadapan dengan dunia luar selain ingin meneruskan kerjaya sebagai penyanyi.



Isu Video Lucah Atikah Suhaimi, Ammar Alfian & Idris Khan (Oktober 2015)

Peminat industri hiburan tempatan sekali lagi digemparkan dengan kontroversi terbaharu apabila pelakon Atikah Suhaimi, Ammar Alfian dan Idris Khan terlibat dalam video lucah melibatkan mereka bertiga.

Bagaimanapun ketiga-tiga pelakon itu menafikan sekeras-kerasnya kewujudan video berkenaan dan melakukan perbuatan terkutuk itu.

Sehingga kini, tiada pihak tampil membuktikan kewujudan video berkenaan.



Syazwan Zulkifly Pukul Teman Wanita (Oktober 2015)

Tiada Angin tiada ribut, pelakon berbakat besar Syazwan Zulkifly tiba-tiba membuat pengumuman ingin bersara daripada dunia hiburan pada Oktober lalu.

Bagaimanapun keputusannya itu mula terbongkar apabila dia didakwa telah memukul teman wanitanya, personaliti televisyen, Shenty Feliziana selepas berlaku pertelingkahan di antara mereka.

Shenty membuat laporan di Balai Polis Kuang, Selangor pada 27 Oktober berhubung kejadian tersebut namun menarik balik aduan tersebut dan memaafkan lelaki itu.

 

Erma Fatima, Bade Azmi Tak Jadi Cerai (Oktober 2015)

Erma Fatima pada Mei lalu membuat kejutan apabila hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi memfailkan perceraian terhadap suaminya, Bade Azmi.

Keputusan pelakon dan pengarah itu dipercayai ada kaitan dengan isteri kedua Bade iaitu Aida yang dikahwininya pada 2014.

Erma bagaimanapun mengambil keputusan menarik balik permohonannya itu pada Oktober lalu selepas melihat kesungguhan Bade ingin menyelamatkan rumah tangga mereka.



Maria Farida Dituduh Rampas Suami Kawan Baik (Oktober 2015)

Pelakon popular era 90-an Maria Farida tiba-tiba menjadi perhatian apabila rakan baiknya sendiri, Karen Rahman mendakwa wanita itu cuba merampas suaminya yang dikenali sebagai Datuk Rahman.

Bagaimanapun Maria bersama Rahman tampil dalam sebuah program hiburan menafikan dakwaan tersebut selain anak-anak pasangan itu turut memberi kenyataan menghemtam Karen sebagai ibu tidak bertanggungjawab.

Maria dan Rahman telah pun disatukan sebagai suami isteri pada 26 November lalu.



Drama Culik Zahirah MacWilson (November 2015)

Pelakon baharu Zahirah MacWilson mencetuskan kontroversi apabila mendakwa hampir diculik di tempat parkir sebuah pusat membeli belah.

Perkara itu turut didedahkan oleh aktor Zul Ariffin menerusi laman Twitter miliknya dan memberitahu dia secara kebetulan berada di tempat kejadian.

Bagaimanapun kenyataan aktres itu mula bercanggah apabila pihak pengurusan pusat beli-belah berkenaan menafikan kejadian itu menerusi rakaman litar tertutup yang terdapat ditempat tersebut.

Zul dalam satu kenyataan lain mengakui dia kini bercinta dengan Zahirah dan hubungannya dengan Gayatri telah pun berakhir.



Fazura & Isu KimK (Disember 2015)

Vii Narza berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kontroversi yang menjadi viral pada Rabu lalu apabila komen yang ditinggalkannya disalahtafsirkan oleh Fazura.

Nama Nur Fazura kembali hangat apabila pelakon itu tersalah tafsir komen yang dibuat oleh salah seorang peminatnya menerusi sekeping gambar yang dimuat naik oleh wanita berkenaan di Instagram.

Peminat itu, Vii Narza telah memberi komen menyamakan salah seorang dalam gambar itu seperti aktres antarabangsa Kim Kardashian dengan menggunakan singkatan KimK.

Namun perkataan KimK yang sinonim dengan gelaran artis itu ditafsir sebagai bahasa kesat dan mencarut oleh Fazura sehingga mendorong dia memuat naik foto mengkritik peminat berkenaan termasuklah menyentuh imej bertudung wanita itu.

Vii dalam satu kenyataan pula memberitahu dia tidak pernah berniat untuk mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pelakon itu sedangkan dia sudah lama meminati Fazura sebagai artis kesayangannya.

Artikel Lain