KUALA LUMPUR: Seramai 12 peserta terbaik diumumkan untuk bersaing di pentas Mentor Milenia yang bakal bersiaran setiap Ahad di TV3 bermula 3 Januari 2016. Peserta-peserta tersebut dipilih melalui uji bakat yang dilakukan oleh empat mentor terdiri daripada Hazama, Black Hanafiah, Azlan dan Akim Ahmad. Kesemua peserta tersebut ialah Fareez, Mya & Ebal akan berada bawah tunjuk ajar Hazama, Nuri, Zetty & Ain (Azlan), Han, Ebba & Meen (Akim Ahmad), dan Wanie, Qody & Haq (Black Hanafiah). Pemilihan peserta berkenaan diumumkan dalam satu sidang media di Hotel Pullman Kuala Lumpur, di sini, Selasa. Barisan 12 peserta bersama mentor yang bakal berentap 3 Januari ini. Penerbitnya Ahmad Saifulizam Arshad (Gbam) berkata, setiap mentor mempunyai strategi tersendiri dalam memilih kriteria setiap protoge masing-masing. "Setiap mentor sudah memaklumkan kepada saya kenapa mereka pilih peserta-peserta tersebut. "Kami percaya mereka juga ada sebab dan strategi untuk menggilap bakat protoge itu dan sukar untuk membuat pemilihan kali ini kerana terlalu ramai yang datang pada uji bakat yang kami anjurkan minggu lalu" ujarnya. Sementara itu, program Mentor Milenia bakal dihoskan oleh pengacara Issey Fazlisham dan Marsha Milan Londoh. Tambah Saifulizam, Mentor Milenia tidak mempunyai panel juri kerana keputusan persembahan protege adalah berdasarkan jumlah undian penonton di studio yang mewakili 30 peratus dan 70 peratus pemarkahan lagi menerusi laman web rasmi program tersebut. Mentor Milenia akan disiarkan bermula pukul 9 malam.