suria

SOROTAN 2015: Perkahwinan, Pertunangan Satukan Dua Jiwa

Nabila Huda dan Mohd Izwan berkahwin pada 25 Disember lalu.
PETALING JAYA: Tahun 2015 hampir melabuhkan tirainya dan tentu sekali ia meninggalkan kenangan paling bermakna buat pasangan yang melangkah ke gerbang perkahwinan.

Tentunya kehadiran 2016 akan memberi sinar baru buat mereka agar apa yang diazamkan dalam hidup akan terlaksana.

Berikut ini sorotan saat-saat bahagia selebriti melangkah ke gerbang perkahwinan sepanjang tahun ini.



Siti Elizad & Shamsul Baharin (11 Januari 2015)

Berita perkahwinan pelakon Teman Lelaki Upahan iaitu Siti Elizad dan Shamsul Bahrin menjadi perhatian selepas mereka merahsiakan perkahwinan tersebut.

Bagaimanapun Siti Elizad menjelaskan dia terpaksa merahsiakan perkahwinan itu kerana menghormati permintaan bapanya.

Siti Elizad dan Shamsul Baharin Rahman selamat diijabkabulkan pada 11 Januari lalu. Akad nikah disempurnakan bapa pengantin perempuan sendiri, Mohd Sharifuddin Baharuddin di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, pihak lelaki menyerahkan mas kahwin sebanyak RM777, tujuh dulang hantaran dan berbalas sembilan dari pihak perempuan. Manakala, wang hantaran pula dirahsiakan.



Salma Mentor 5 & Azri AF9 (31 Januari 2015)

Juara Mentor 5, Salma selamat bergelar isteri kepada Azri yang juga peserta AF 9. Mereka bernikah pada 31 Januari 2015.

Majlis pernikahan diadakan di Masjid Al Kautsar, Tawau Sabah pukul 11 pagi.

Salma menerima mas kahwin RM300 berserta wang hantaran berjumlah RM10 ribu termasuk tujuh dulang hantaran. Sementara itu, Salma membalas dengan sembilan dulang hantaran.



Zul Huzaimy & Nur Ernawati (20 Febuari 2015)

Pelakon Zul Huzaimy menamatkan zaman dudanya selepas memilih Nur Ernawati, 27, sebagai pasangan hidup. Mereka bernikah pada 20 Februari 2015.

Ia merupakan perkahwinan kedua Zul setelah bercerai dengan Nor Dalilah Muhammad pada 1 Julai 2010. Hasil perkahwinan terdahulu Zul dikurniakan seorang anak lelaki bernama Awal Haziq yang kini berusia 9 tahun.

Zul dan isteri baharunya sedang menunggu kelahiran cahaya mata mereka yang dijangka dilahirkan tidak lama lagi.



Fadzil Zahari & Yana Samsudin (13 Febuari 2015)

Pelakon Yana Samsudin selamat bergelar isteri kepada Fadzil Zahari dengan sekali lafaz dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Yong Peng, Johor.

Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 31, menerima mas kahwin berjumlah RM10,000 manakala wang hantaran sebanyak RM50,000.

Fadzil atau nama sebenarnya Fadzil Bahari Zahari, 32, turut menyerahkan lima dulang hantaran manakala pihak perempuan membalas dengan tujuh dulang.

Terdahulu, Yana memberitahu dia terkejut apabila Fadzil sabar menantinya sejak dari awal perkenalan dan selepas merisiknya pada 16 September 2010.

Fadzil yang juga adik kepada aktor Farid Kamil menghantar rombongan meminang kepada keluarga Yana sekitar Disember tahun lalu.



Hanez Suraya & Romie Razin (14 Mac 2015)

Pelakon kontroversi Hanez Suraya sah bergelar isteri kepada Romie Razin Adilha Abd Rais dengan sekali lafaz kira-kira pukul 11.25 pagi pada majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Putra pada 14 Mac 2015.

Pada majlis berkenaan, pelakon itu menerima mas kahwin berjumlah RM20,000 dan wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Pasangan itu terdahulu mengikat tali pertunangan pada 3 Januari 2015 dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup di Seremban, Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Hanez pernah mencetuskan kontroversi apabila dituduh menjadi perosak rumah tangga Romie bersama bekas isterinya Nurliyana Abd Manan.

Pasangan ini sedang menunggu kelahiran cahaya mata yang dijangka bakal dilahirkan dalam masa terdekat.



Amir Raja Lawak & Nur Intan Syafinaz (14 Mac 2015)

Pelawak Amir (Raja Lawak), 27, selamat bergelar suami kepada Nur Intan Syafinaz Shaari dengan sekali lafaz di kediaman keluarga perempuan di Kampung Kubu Gajah Sungai Buloh, Selangor.

Pada majlis yang diadakan di kediaman pengantin perempuan ini, Amir menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 manakala RM13,000 sebagai wang hantaran.

Amir turut menyerahkan tiga dulang hantaran dan dibalas lima dulang daripada pengantin perempuan.

Terdahulu pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 13 Jun 2014.



Fad Bocey & Nur Syahirah (14 Mac 2015)

Pelawak Fad (Bocey) atau Muhamad Fadzlie Bin Mohd Nizam, 24, sah bergelar suami kepada wanita pilihan hati, Nur Syahirah A.Rahman, 21, dengan sekali lafaz dalam upacara pernikahan yang diadakan di kediaman pengantin perempuan di Jitra, Kedah.

Fad mula berkenalan dengan Nur Syahirah apabila gadis tersebut yang juga adik angkat kepada Jihan Muse sering hadir ke pentas Maharaja Lawak Mega.

Sudah mengenali antara satu sama lain selama dua tahun dan baru sahaja lima bulan menjadi pasangan kekasih sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Pasangan ini baharu sahaja dikurniakan cahaya mata kembar lelaki pada 11 Disember lalu.



Najwa Mahiaddin & Idris Koh (26 Mac 2015)

Penyanyi Najwa Mahiaddin, 28, sah bergelar isteri kepada Idris Koh dalam satu majlis yang telah berlangsung pada 26 Mac 2015 di Sri Satria Putrajaya.

Pasangan ini telah bertunang sekitar Disember tahun 2014.

Idris, 29, merupakan seorang  ahli muzik sering mengiringi Najwa dalam setiap persembahannya.

Perkahwinan Najwa itu mencuri perhatian umum, bukan sahaja kerana beliau anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi juga seorang penyanyi dan pencipta lagu berbakat besar yang merangkul beberapa anugerah berprestij dalam negara. 



Sharifah Sakinah & Aliff Adha (28 Mac 2015)

Pelakon Sharifah Sakinah selamat bergelar isteri kepada juruterbang Aliff Adha, 27, dengan sekali lafaz dalam satu majlis pernikahan di Hotel Shangri-La di Putrajaya pada 28 Mac 2015.

Pada majlis berkenaan Sharifah Sakinah, 26, menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki di mana tujuh dulang tersebut mengandungi tujuh pasang kasut sukan jenama Adidas dengan rekaan yang berbeza.

Manakala, dia membalas sebanyak sembilan dulang kepada pihak lelaki berupa sebentuk cincin, senaskhah al-Quran, tali pinggang, seutas jam tangan dan sepasang kasut bola.

Bagaimanapun, jumlah mas kahwin dan wang hantaran dirahsiakan.

Majlis perkahwinan pasangan ini diadakan secara tertutup tanpa liputan media.

Pasangan ini bertunang pada 25 Oktober 2014 di kediamannya di Taman Melawati, dekat sini.



Sarimah Ibrahim & Tunku Nadzimuddin (2 April 2015)

Pengacara Sarimah Ibrahim, 37, sah bergelar isteri kepada cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, iaitu Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 43, pada 2 April 2015.

Pihak pengantin perempuan menerima tujuh dulang hantaran berbalas jumlah yang sama kepada pengantin lelaki. Sarimah turut menerima mas kahwin sebanyak RM6,000.

Sarimah bertunang dengan Tunku Nadzimuddin atau lebih mesra dikenali Tunku Jamie pada 27 September tahun 2014.

Ini bukan perkahwinan pertama mereka. Sarimah pernah berkahwin pada 2006 tetapi bercerai pada penghujung Disember 2008. Tunku Jamie pula sudah berstatus duda tanpa anak ketika bertemu Sarimah.



Taufik Batisah & Sheena Akbal (4 April 2015)

Penyanyi popular Singapura Taufik Batisah selamat bernikah dengan pasangannya Sheena Akbal pada 4 April 2015.

Taufik memberikan mas kahwin sebanyak SGD500 (RM1,250) berserta hantaran seperti sejadah, telekung dan senaskhah Al-Quran kepada pengantin perempuan.

Tambah Taufik lagi, suara Sheena turut diabadikan dalam lagu nyanyiannya berjudul Awak Kat Mana dan telah menyunting sendiri suara isterinya untuk lagu tersebut.



Sam Bunkface & Aida Azira ( 26 April 2015)

Sam Bunkface telah selamat bergelar suami kepada Aida Azira dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Sapura Building, The Mines hanya dengan sekali lafaz.

Sam menyerahkan mas kahwin berjumlah RM1,000 manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Pengantin lelaki turut menyerahkan empat dulang barangan hantaran iaitu Al Quran, mas kahwin, cincin, sejadah dan set telekung.

Sebagai balasan, pihak pengantin perempuan membalas tiga dulang iaitu Al Quran, Cincin, dan sejadah.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober 2014.



Fahrin Ahmad & Elena (9 Mei 2015)

Pelakon Fahrin Ahmad selamat bergelar suami kepada seorang pramugari, Elena Hani Eleas, 37, dengan sekali lafaz.

Majlis pernikahan itu berlangsung di Pusat Konvesyen Sime Darby.

Fahrin menyerahkan mas kahwin berjumlah RM80 dan sebentuk cincin manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Bagaimanapun pasangan pengantin itu tidak menghadiahkan sebarang dulang hantaran.




Ramona Zam Zam & Rami Alashkar (1 Mei 2015)

Pelakon Ramona Zam Zam mendirikan rumah tangga dengan jejaka Palestin Rami Alashkar, 27, yang menetap di Malaysia.

Ramona sah menjadi isteri dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis yang diadakan di Kayangan Height, Shah Alam.

Pihak pengantin wanita menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak pengantin lelaki. Pemenang tempat keempat Dewi Remaja 2010 itu menerima hantaran mas kahwin RM300. Bagaimanapun wang hantaran dirahsiakan.



Lana Nodin & Mohd Daud McKienzie (15 Mei 2015)

Pelakon kontroversi Lana Nodin atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin, 35, selamat bergelar isteri  kepada David McKienzie atau nama islamnya Mohd Daud McKienzie, 35 di Hotel Palace of Golden Horses, Seri Kembangan.

Pada majlis pernikahan itu, Daud menyerahkan mas kahwin berjumlah AS$10,000 (RM32,000) dan sebentuk cincin manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Lana turut menerima lima dulang hantaran manakala Mohd Daud yang merupakan pemain sukan bola tampar AS menerima tujuh dulang hantaran daripada aktres itu.



Hairul Azreen & Hanis Zalikha (5 Jun 2015)

Hairul Azreen dan Hanis Zalikha sah bergelar pasangan suami-isteri dengan hanya sekali lafaz pada 5 Jun 2015.

Pasangan itu bernikah di kediaman keluarga Hanis di Bukit Jelutong, selepas solat Jumaat. Pasangan ini dinikahkan bapa Hanis sendiri iaitu Zainal Rashid Mohd Zain sambil disaksikan Imam Kedua Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Ustaz Mohd Syuhud Razali.

Pada majlis pernikahan itu, Hairul menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 dan sebentuk cincin manakala wang hantarannya sebanyak RM91,019.90.

Hanis turut menerima sebelas dulang hantaran manakala Hairul turut menerima sebelas dulang hantaran daripada aktres itu.




Abby Abadi & Faizal (14 Ogos 2015)

Bekas anggota kumpulan Elite, Abby Abadi sah bergelar isteri kepada wartawan kanan di media pembangkang iaitu Harakah, Muhammad Faizal Zakaria dengan sekali lafaz.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan, 38, menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan senaskhah Al-Quran sebagai pengganti wang hantaran.

Muhammad Faizal yang juga  duda beranak tiga berkenalan dengan Abby pada 2012 namun ia sekadar hubungan profesional di antara wartawan dan selebriti.

Terdahulu Abby pernah berkahwin dengan aktor, Norman Hakim dan dikurniakan tiga cahaya mata sebelum bercerai pada tahun 2008.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 12, Marissa Dania Hakim, 10, dan Maria Danisha Hakim yang berusia tujuh tahun.

Abby kemudiannya bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 25, pada 2013 sebelum bercerai selepas 11 bulan berumah tangga.



Nubhan & Afifah (29 Ogos 2015)

Penyanyi Nubhan sah bergelar suami kepada bakal doktor gigi, Afifah Hidayah Ahmad Taufek, 26, dalam satu majlis di kediaman keluarga pasangannya di Rasah Kemayan, Seremban 2.

Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 29, dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah dan Cerai Seremban 2, Wan Nawang Wan Sulong pada pukul 3.35 petang dengan mas kahwin sebanyak RM1,000.

Penyanyi lagu Kisah Kasih itu turut menyerahkan wang hantaran sebanyak RM20,000 berserta lima dulang sebelum dibalas tujuh dulang daripada pengantin perempuan.

Pasangan berkenaan mengikat tali pertunangan pada Oktober 2014.



Raja Farah & Iskandar Ismail (6 September 2015)

Aktres Raja Farah selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan Iskandar Ismail, 33, dengan sekali lafaz dalam majlis diadakan secara sederhana di Masjid Ampuan Jemaah, Shah Alam.

Raja Farah atau nama sebenarnya Raja Farah Raja Aziz, 27, menerima mas kahwin berupa tiga dinar emas manakala wang hantaran dirahsiakan.

Terdahulu pasangan berkenaan mengikat tali pertunangan pada 9 Ogos lalu.

Raja Farah sebelum ini pernah berkahwin dengan Megat Bashirun Qhuyum Zakaria pada 12 November 2010 dan bercerai pada 25 Mei lalu.

Perkahwinan tersebut tidak dikurniakan cahaya mata.



Shukri Yahaya & Tya Adnan (20 November 2015)

Selepas mengikat janji pertunangan selama dua tahun, pelakon Shukri Yahaya akhirnya menamatkan zaman bujangnya dengan Tya Adnan, 23, pada 20 November 2015.

Dengan sekali lafaz, pasangan ini sah bergelar suami isteri dalam sebuah majlis yang diadakan di Masjid Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 termasuk sebentuk cincin di samping tujuh dulang hantaran. Manakala pihak perempuan membalas sembilan dulang hantaran. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan.



Nad Zainal & Faliq (18 Disember 2015)

Pernikahan pelakon Nad Zanal dan pasangannya Muhammad Faliq Amirudin berlangsung sederhana dalam satu majlis yang diadakan di The Roof Garden Hotel, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 25, selamat dinikahkan dengan Muhammad Faliq, 27, selepas solat Jumaat oleh bapa Nad  sendiri iaiti Zainal Abidin Abu.

Mas kahwin yang diberikan pengantin lelaki sebanyak RM350 namun wang hantaran dirahsiakan.

Majlis pernikahan pasangan ini diadakan secara tertutup tanpa liputan media.


Nabila Huda & Mohd Izwan Johar (25 Disember 2015) 

Selepas menyulam cinta selama dua tahun, pelakon Nabila Huda menamatkan zaman jandanya dengan lelaki pilihan Mohd Izwan Johar pada 25 Disember lalu.

Nabila, 31, mendedahkan mengambil masa selama enam bulan untuk memikat suaminya itu sebelum mereka menjadi pasangan kekasih.

Anak kepada penyanyi rock, Amy Search itu turut memberitahu dia sebelum ini mengambil keputusan merahsiakan hubungan tersebut kerana mereka tidak mempunyai ikatan sah selain ingin mengelak daripada cerita kurang enak.

Mohd Izwan, 32, yang juga pemilik sebuah restoran di Kuala Lumpur memberitahu terpikat dengan sifat keibuan isterinya itu.

Sebelum ini, Nabila pernah berkahwin dengan Zaidi Zailani, 34, namun mereka bercerai pada 2011 selepas tiga tahun bersama.

Hasil perkahwinan itu mereka mendapat seorang anak perempuan iaitu Keisha Laila yang kini berusia lima tahun.


Adira & Datuk Seri Adnan Abu

Perkahwinan paling kontroversi tahun ini ialah antara penyanyi Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 24, yang mengesahkan telah berkahwin dan menjadi isteri kedua kepada Datuk Seri Adnan.

Adira turut mengakui telah bernikah di Songkhla, Thailand tiga minggu lalu sebelum ia terbongkar.

Adira memberitahu dia membuat keputusan bernikah dan sedia bermadu selepas tiga minggu berkenalan menerusi telefon dengan ahli perniagaan tersebut.

Biarpun perkenalan mereka singkat namun dia bersetuju dengan lamaran tersebut kerana yakin dengan keikhlasan lelaki itu untuk memperisterikannya.

Adira sebelum ini pernah bertunang dengan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia, Shahrul Nasrun Kamarudin pada 22 Disember tahun lalu namun ikatan berkenaan putus pada pertengahan April lalu.


IKATAN PERTUNANGAN

Sementara itu beberapa artis terkenal tempatan turut mengambil peluang mengikat tali pertunangan bersama pasangan masing-masing sebelum melangkah ke alam perkahwinan. 



Hafiz Suip & Nureffy Jasreel (27 Februari 2015)

Penyanyi Hafiz Suip selamat mengikat tali pertunangan dengan seorang pelajar bernama Nureffy Jasreel Abdullah, 22 , dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Pullman, Kuching, Sarawak.

Pada majlis pertunangan tersebut Hafiz, 25, menyerahkan 11 dulang hantaran, manakala pihak perempuan pula membalas 16 dulang.

Kedua-dua keluarga bersetuju pertunangan mereka diikat selama setahun tetapi tidak menetapkan bilakah tarikh untuk disatukan sebagai suami-isteri.

Terdahulu, majlis merisik telah diadakan di rumah wanita tersebut di Kuching, Sarawak pada 21 Disember tahun lalu.



Akim & Stacy (26 September 2015)


Penyanyi Stacy sah bergelar tunang kepada vokalis kumpulan Akim & The Majistret iaitu Akim Ahmad pada 26 September 2015.

Pasangan ini dijangka akan mendirikan rumah tangga pada Februari 2016 di kediaman wanita itu di Sabah.

Pertunangan tersebut juga menguatkan lagi desas-desus langkah Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 25, memeluk Islam sebagai persediaan awalnya untuk berkahwin dengan Akim.

Terdahulu, Stacy atau nama Islamnya iaitu Ummu Shaikhah Stacy memeluk  Islam di pejabat Agama Islam, Johor Baru, Johor pada 24 Ogos lalu.



Tauke (Jambu) & Nadia (7 Disember)

Pelawak Tauke Jambu, 39, selamat melangsungkan pertunangan dengan wanita pilihannya, Nadia di kediaman wanita itu di Dungun, Terengganu.

Pada majlis berkenaan, Tauke turut memberi tujuh dulang hantaran termasuk sebentuk cincin manakala dibalas sembilan dulang oleh pihak perempuan.

Dalam pada itu, Tauke berkata, mengikut perancangan dia dan Nadia bakal disatukan sebagai suami-isteri pada Disember tahun hadapan.

Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan pada majlis pertunangan itu namun berharap dapat disatukan segera dengan wanita berkenaan.



Aliff Aziz & Bella Astillah (12 Disember 2015)

Penyanyi Aliff Aziz, 24 mengikat tali pertunangan dengan Dayang Nabellah Awang Astillah, 21, dalam satu majlis yang diadakan di Cyristal Hall, Plaza Jelutong.

Pada majlis tersebut pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran yang berupa sebentuk cincin, telefon bimbit Iphone 5s, coklat, Al-Quran dan tepak sirih.

Manakala pihak perempuan membalas tujuh dulang hantaran terdiri daripada sirih junjung, coklat, kek, minyak wangi, manisan, buah-buahan dan sepasang kasut.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengikat tali pertunangan dalam tempoh setahun dan melangsungkan majlis pernikahan pada tahun depan. 

Artikel Lain