PETALING JAYA: Penyanyi Hazama memberitahu ada meminta pandangan daripada rakan baiknya iaitu penyanyi Akim Ahmad berkaitan dengan hal berkaitan percintaan dengan pasangan berbeza agama. Hazama, 32, berasa kagum dengan pengorbanan penyanyi lagu Potret itu dalam memperjuangkan cinta bersama tunangannya Stacy atau nama Islamnya Ummu Syaikhah Stacy Abdullah dalam hubungan yang mencecah tujuh tahun itu. "Saya ada minta nasihat dan bertanya pada Akim juga tentang hal-hal cinta dengan pasangan berlainan agama. "Saya lihat dia seorang yang penyabar dan sanggup menunggu lama, hubungan dia dengan tunangnya iaitu Stacy sudah tujuh tahun. Manakala saya Genervie baru sahaja tiga tahun bercinta," ujarnya kepada mStar Online. Akim dan Stacy bakal mendirikan rumah tangga Februari depan. Hazama berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan hubungan percintaannya dengan pemuzik Genervie Kam, 35, yang sudah hampir tiga tahun bercinta. Katanya, dia tidak pernah mendesak wanita itu memeluk agama Islam semata-mata untuk berkahwin dengannya. "Saya tidak mahu paksa dia masuk Islam, biar dia sendiri terbuka hati sendiri dan bukan kerana saya semata-mata. "Saya sanggup tunggu selagi termampu dan kalau di memeluk agama Islam saya tidak mahu dia menukar namanya," ujarnya. Sementara itu, bercakap mengenai kerjaya nyanyainnya yang kini semakin berada di puncak, Hazama berkata, dia mengakui terpaksa mengorbankan demi tanggungjawab sebagai penyanyi. Katanya, masa untuk bercinta dan tidur lebih terhad berikutan komitmen terhadap jadual hariannya yang padat dengan program dan persembahan nyanyian. "Banyak terpaksa dikorbankan terutamanya masa tidur yang semakin berkurangan kerana jadual saya padat. Sekarang saya sibuk dengan program Mentor Milenia dan persiapan Anugerah Juara Lagu Ahad ini. "Selain itu, bakal sibuk dengan latihan persembahan konsert 5 Divo yang akan berlangsung pada 13 Februari depan," ujarnya. Hazama dan kekasihnya Genervie Kam. Dalam pada itu, Hazama berkata, dia bukan bersikap tamak dengan menerima semua tawaran dalam satu masa yang sama, namun menganggap ia sebagai peluang yang tidak boleh dilepaskan. "Ini bukan sebab saya tamak, tapi peluang-peluang yang datang pada masa yang sama ini adalah yang saya impikan selama ini. "Peluang ini tidak datang dengan mudah dan saya tidak mahu melepaskannya begitu sahaja," ujarnya. Dalam perkembangan kerjaya, Hazama berkata dia bakal bersama empat penyanyi popular iaitu Hafiz Suip, Afgan, Judika dan Taufik Batisah bakal menjayakan konsert 5 Divo di Stadium Malawati pada 13 Februari depan. Bagi yang ingin penonton konsert tersebut boleh mendapatkan tiket berharga RM128, RM188, RM388, RM588, RM888, RM988 dan RM1188 di www.ticketpro.com.my.