PETALING JAYA: Pelakon Arja Lee tidak berasa bimbang sekiranya akan ada video lain disebarkan oleh individu yang mencuri telefon miliknya baru-baru ini. Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 32, berkata, dia tidak menyimpan sebarang video berkelakuan tidak senonoh melainkan video memperlihatkan dia berseluar dalam yang tersebar sebelum ini. "Selain video yang menjadi perbualan baru-baru ini saya tidak ada merakamkan video lain yang tidak senonoh dalam telefon berkenaan. "Saya tidak risau jika akan ada video lain akan disebarkan kerana memang tiada," katanya kepada mStar Online. Tambah Arja, dia tidak pernah meletakkan sebarang kata laluan kepada telefonnya malah gajet berkenaan sering dipegang oleh pembantu atau ahli keluarga sekiranya dia berada di set penggambaran. "Saya ini orangnya pelupa dan sebab itu tidak letakkan sebarang kata laluan tambahan pula tiada benda yang ingin saya sorok daripada orang terdekat saya. "Keluarga dan pembantu saya boleh buka telefon saya pada bila-bila masa kerana pada kebanyakan masa ia berada dengan mereka," jelasnya. Terdahulu, nama Arja menjadi sebuatan apabila video memperlihatkan dia sedang bermain bola dengan hanya memakai seluar dalam dan berbaju t bewarna merah jambu dimuat naik menerusi laman Instagram pelakon itu minggu lalu. Video arja Lee berseluar dalam yang dimuat naik pada malam Selasa. Bagaimanapun Arja mendakwa ia dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab setelah akaun Instagram di telefon bimbitnya digodam. Pengurusnya, Lin Ramli berkata, pelakon tersebut cuba memadam video itu, namun tidak berjaya berikutan kata laluan akaun tersebut digodam oleh pihak tertentu selepas telefon Arja dicuri. Dalam pada itu, Arja menyangkal dakwaan kononnya penyebaran video berkenaan sengaja dibuat ekoran dia bakal mengeluarkan jenama seluar dalam miliknya sendiri dalam masa terdekat ini. Jelas Arja, dia tidak pernah merancang untuk berbuat demikian sebaliknya hanya akan melancarkan lima jenis pakaian unisex dibawah jenamanya, Ali Wear. "Tuduhan itu fitnah. Saya tidak pernah rancang untuk melancarkan sebarang jenama seluar dalam seperti didakwa. "Rasanya satu Malaysia tahu saya bukan artis yang suka cari publisiti murahan dan cukuplah sekali semasa filem Dalam Botol tiga tahun lepas. "Tetapi terima kasihlah kepada pihak berkenaan kerana mempopularkan saya dalam masa seminggu ini," ujarnya. Menjawab mengenai tujuan dia merakamkan video berkenaan, Arja berkata, ia adalah hak peribadinya kerana ia tidak bertujuan untuk disebarkan kepada mana-mana pihak. Bagaimanapun kata Arja, dia mendapat pengajaran daripada kejadian tersebut dan tidak akan mengulangi perbuatan sama pada masa hadapan. "Telefon saya adalah hak peribadi dan apa yang saya simpan di dalamnya adalah privasi dan bukannya untuk ditunjukkan kepada orang ramai. "Bagaimanapun saya minta maaf kerana ia memang kesilapan saya dan berjanji tidak akan buat lagi selepas ini," katanya yang turut meminta maaf kepada keluarga akibat kejadian itu.