KUALA LUMPUR: Program pencarian bakat, Bintang RTM 2016 (BRTM 2016) kembali selepas kali terakhir ke udara empat tahun lalu. Penerbit BRTM 2016, Haliza Mat Kharsa berkata, pertandingan itu sebelum ini diberhentikan penerbitannya buat sementara bagi memberi laluan kepada program lain dengan konsep sama bersiaran terbitan saluran kerajaan itu. "Tiada sebab khusus mengapa BRTM menyepi selama empat tahun tetapi kami ingin memberi laluan kepada program terbitan lain seperti Mimipi Ke Bintang, Lantai Cikik dan Bakat TV bersiaran. "Bagaimanapun sudah sampai masanya program pencarian bakat ini kembali untuk edisi berikutnya dan pelbagai strategi disusun dalam memastikan BRTM 2016 lebih segar dan terkini," katanya kepada mStar Online. Haliza berkata demikian ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan 14 peserta BRTM 2016 yang berlangsung di Angkasapuri di sini, Selasa. BRTM 2016 akan mula bersiaran secara langsung selama 10 minggu bermula pada 30 Januari ini, setiap Sabtu pada pukul 9 malam di TV2. Kali terakhir BRTM diadakan pada tahun 2012 dan ketika itu Aisha Safia dinobatkan sebagai juara. Seramai 14 peserta bakal berentap dalam pertandingan BTM 2016. Empat belas peserta yang terpilih adalah Idris Zulkifli, 19, Mohd Farhan Mohd Mustafa (19), Muhammad Alif Mustafa (22), Mohd Azizol Alias (23), Muhammad Farid Mohd Nor (23), Mohd Hafiz Ismail (23) dan Muhammad Adib Ibrahim (24). Manakala peserta wanita adalah Nur Hijrah Yahya (24), Puteri Wannur Nabila Ramli (18), Chee Ka-Yee (22), Syakirah Edora Janali (22), Nor Fazrina Mohd Gani (23), Nur Shafreeza Zainal Abidin (22) dan Rosario Ninih Chamini Bianis (21). Dalam pada itu, Haliza berkata, pihaknya telah mengadakan sesi uji bakat di enam zon dan 3,000 peserta hadir untuk mencuba nasib. Jelasnya, 14 peserta akhir terpilih menepati mutu yang dicari dan menjangkakan persaingan sengit pada pertandingan kali ini. "Seperti mana yang semua tahu BRTM menjadi tempat kelahiran ramai artis ternama tanah air pada hari ini dan kita ingin peserta tahun ini menjadi salah seorang daripada mereka. "Kesemua peserta terpilih mempunyai bakat luar biasa dan kualiti yang sangat baik dan pertandingan itu nanti akan berlangsung dengan sengit," ujarnya. Tambah Haliza, seperti mana edisi BRTM lalu, musim terbaharu ini masih mengekalkan penjurian secara profesional tanpa melibatkan undian awam. Jelasnya, ia adalah penting dalam memastikan kesemua peserta diadili oleh juri berpengalaman dalam memilih juara BRTM 2016. "Selain penjurian profesional pihak kami turut memilih penyanyi dan komposer Ajai dan Edrie Hashim sebagai juri tetap manakala setiap minggu akan ada juri jemputan mengadili peserta. "Persembahan juga akan mengikut tema selain tugasan indidivu selain penyingkiran setiap minggu," jelasnya. Sementara itu, pelakon Amyra Rosli dan juruhebah Nasional FM, Muaz Mohamed dipilih sebagai pengacara. Manakala penyanyi Dia Fadila yang juga artis kelahiran RTM bertindak sebagai guru vokal. Dalam perkembangan sama, Haliza berkata, pihaknya sudah pun mempunyai perancangan untuk peserta BRTM 2016 selepas program itu tamat. Kata Haliza, selain mempromosikan mereka dalam program terbitan RTM pihaknya juga akan melancarkan single untuk pemenang. "Sebenarnya semasa peringkat uji bakat lagi beberapa komposer yang terlibat sudah menunjukkan minat terhadap para peserta untuk bekerjasama. "Kami melihat ia perkembangan baik namun yang pasti pihak produksi sudah pun mengatur pelbagai perancangan untuk mereka selesai pertandingan selesai," jelasnya.