PETALING JAYA: Penyanyi Indah Ruhaila tidak berasa bimbang sekiranya dikritik selepas dia tampil dengan imej rambut berwarna keemasan baru-baru ini. Indah atau nama sebenarnya Siti Ruhailah Hussin, 29, berkata, sebagai artis dia sedar akan risiko berkenaan namun tidak dapat mengawal cakap-cakap negatif terhadap dirinya. "Kalau ada yang mengecam, saya tidak kisah kerana mulut orang saya tidak boleh tutup tambahan pula dengan kepesatan teknologi hari ini, lagi sukar untuk dibendung. "Bukan sahaja perkara buruk malah benda baik yang dibuat pun tetap akan mendapat kritikan sehingga ia sudah menjadi satu kebiasaan. "Saya tahu batas saya dan saya tanggung atas tindakan sendiri," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Indah berkata, perubahan imejnya itu adalah untuk tampil segar kerana bimbang peminat akan berasa bosan dengan penampilannya. Bagaimanapun itu tidak bererti dia akan mengekalkan warna rambut emasnya itu untuk jangka masa panjang. "Sebagai artis saya kena peka terhadap penampilan dan imej kerana itu juga saya warnakan rambut agar tampak segar pada tahun ini. "Sampai satu tahap nanti saya akan tukar juga warna rambut itu apabila sampai masanya nanti," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Indah berkata, dia bakal memasuki studio dalam masa terdekat untuk merakamkan single ketiganya hasil ciptaan Omar K. Selain itu, dia kini giat mempromosikan lagu Disebalik Takdir selain memenuhi undangan nyanyian.