KUALA LUMPUR: Seramai enam artis terkenal bakal bergabung tenaga bagi menjayakan konsert dan pameran Raja dan Rakyat Berpisah Tiada yang akan diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 24 hingga 27 Februari depan. Penaung konsert berkenaan, Datuk Aizuddin Ghazali berkata, artis-artis terlibat adalah mereka yang pernah menerima Darjah Kebesaran daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah sebelum ini. "Gabungan enam artis berkenaan adalah bersempena memuliakan sambutan ulang tahun keputeraan ke-85 Sultan Pahang dalam sebuah konsert dan pameran khusus untuk Tuanku yang banyak memberi penghargaan tidak ternilai kepada penggiat seni di negara ini. "Ini adalah julung-julung kali konsert sedemikian diadakan dan menghimpunkan artis-artis yang pernah menerima pengiktirafan daripada Tuanku. "Ia juga sebagai memberi sumbangan kembali kepada pihak yang selama ini banyak menghargai bakat seni mereka," katanya kepada mStar Online. Aizuddin berkata demikian ketika sidang media konsert dan pameran berkenaan di Hotel Royale Chulan di sini, Rabu. Adinda Sultan Pahang iaitu Tengku Kamarulzaman (dua dari kanan) ketika melancarkan konsert dan pameran Raja dan Rakyat Berpisah Tiada. Adinda Sultan Pahang, Datuk Seri Tengku Kamarulzaman Sultan Sir Abu Bakar turut hadir pada sidang media tersebut bersama-sama Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaari. Enam artis yang terlibat adalah Datuk Jamal Abdillah, Datuk Yusni Hamid, Datuk David Arumugam, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Hattan dan Datuk Rossa. Konsert kemuncak itu bakal diadakan pada 27 Februari dan Sultan Pahang turut perkenan untuk mencemar duli bagi menyaksikan persembahan itu nanti. Dalam pada itu, Aizuddin berkata, pada konsert itu nanti, para artis bukan sahaja bakal mendendangkan lagu kegemaran Sultan Pahang malah bakal menyampaikan seleksi lagu-lagu hit mereka. Persembahan pada malam itu bakal diserikan dengan iringan pemuzik daripada Kumpulan Orkestra Simfoni Kebangsaan diketuai oleh Mustafa Fuzer Nawi. "Insya-Allah pada malam konsert itu nanti sebanyak 21 buah lagu akan disampaikan oleh barisan penyanyi termasuk beberapa lagu duet dan seleksi kegemaran Tuanku sendiri. "Alhamdulillah kesemua artis terlibat sangat teruja apabila diberitahu mengenai konsert tersebut dan sama-sama mahu menjayakannya," jelasnya. Siti Nurhaliza. Sementara itu, Tengku Kamarulzaman dalam ucapannya berkata, pameran Diraja yang akan diadakan sebelum konsert berlangsung yang akan memperlihatkan sejarah, latar belakang dan aktiviti termasuk koleksi gambar peribadi Sultan Pahang. Beliau berharap, pameran itu nanti akan dapat menarik minat lebih luas masyarakat khususnya generasi muda untuk lebih mengenali lebih dekat kehidupan Sultan Pahang. "Adalah menjadi harapan semoga pameran ini mampu melahirkan kesedaran dan semangat cintakan raja dan sultan dalam jiwa masyarakat Malaysia selaras dengan prinsip Rukan Negara yang kedua iaitu 'Kesetiaan Kepada Raja dan Negara'," katanya. Tambah Tengku Kamarulzaman lagi, beliau juga tertarik dengan pameran dan konsert berkenaan kerana ia turut mengumpul dana dalam bentuk penjualan tiket untuk didermakan kepada golongan kurang berkemampuan di luar bandar termasuk anak-anak yatim. "Saya menyeru agar syarikat korporat, agensi atau pun pertubuhan sama-sama membantu merialisasikan hasrat murni itu dalam mengumpul dana bagi membantu golongan memerlukan," ujarnya. Konsert berkenaan adalah anjuran Luhur Nurani dengan kerjasama Yayasan ALMAS, Persatuan Siswazah Warisan dan Pertubuhan Strategis Bersatu. Tiket bagi menyaksikan konsert tersebut dijual pada harga RM500 hingga RM3,000. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 014-5223696 (Aizam) dan 019-2889764 (Rohaiza).