suria

Fizikal Rendah Juzzthin Bukan Halangan Jadi Penyanyi Rap

Juzzthin menyifatkan, penampilannya yang rendah bukan halangan untuk dia menjadi penyanyi rap berjaya. Foto: ROHAIZAT MD DARUS
PETALING JAYA: Penyanyi Juzzthin tidak pernah menjadikan saiz fizikalnya yang rendah satu masalah untuk mencipta nama sebagai seorang penyanyi rap popular.

Juzzthin atau nama sebenarnya, Mohamad Nazreen Norzali, 26, berkata, apa yang lebih penting ialah mempunyai anggota tubuh yang sempurna.

"Tinggi saya 160 sentimeter dan saya akui ramai orang kata bahawa saya rap best tetapi sayang saya pendek sebab kebanyakkan penyanyi rap semuanya tinggi-tinggi belaka.

"Tapi saya tidak kisah orang kata begitu kerana bagi saya asalkan ada tangan dan ada kaki saya sudah bersyukur," ujarnya kepada mStar Online.

Juzzthin berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album pertamanya iaitu Juzzthin Class Is In Session, di Pejabat Warner Music, di sini, Khamis.

Tambah Juzzthin, fizikalnya yang kecil juga memberi kelebihan kerana sering dianggap dia masih pelajar sekolah.

Malah, dia juga menerima banyak tawaran berlakon untuk membawakan watak pelajar.

Juzzthin berduet dengan Maya Karin dengan lagu Serik Dengan Cinta.

"Fizikal saya yang rendah ini kadang-kadang membuatkan orang senang mendekati saya untuk berkawan dan ramai yang menyangka saya masih belasan tahun.

"Selain itu, ada juga rezeki lain iaitu dapat tawaran berlakon watak pelajar sekolah walaupun kini sudah 26 tahun," ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang lagu duetnya bersama Maya Karin iaitu Serik Dengan Cinta yang dimuatkan dalam album tersebut, ia bukan untuk menumpang populariti aktres itu.

Katanya, genre pop dibawa Maya Karin yang digabungkan dengan genre hip hop dapat memberi keseimbangan terhadap lagu berkenaan.

"Saya gembira dapat bekerjasama dengan nama besar seperti Maya Karin dalam lagu ini dan ia bukan untuk menumpang populariti dia sebagai artis popular.

"Bagi saya genre pop yang dia bawa dapat memberi hasil yang sangat baik selepas digabungkan dengan hip hop, ia lebih sedap didengar, " ujarnya.

Sementara itu, album tersebut memuatkan 12 buah lagu antaranya Day 1, Drive, Isi Puisi, Bonda dan Poster.

Katanya, lagu Bonda merupakan lagu paling bermakna berikutan ditulis khas buat ibunya Noraini Jamil.

"Lagu paling bermakna dan dirakam dengan penuh emosi ialah lagu Bonda yang saya tulis untuk ibu saya.

"Saya sudah beri dia dengar tapi dia tidak berapa minat denga genre hip hop," ujarnya.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy, Maya Karin, Dj Fuzz, Mark Adam dan Waris.
Juzzthin, Maya Karin

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan