KUALA LUMPUR: Rakan-rakan artis menyifatkan, wartawan veteran Ahmad Idris atau Abi antara individu yang hebat pada zamannya kerana dijadikan tempat rujuk artis. Rumah Allahyarham yang terletak di Jalan Enggang, Keramat dekat sini turut dinamakan sebagai ‘warung artis’ kerana ia merupakan lokasi pertemuan golongan berkenaan setiap malam. Mengimbas peristiwa itu, rakan baik Allahyarham, Datuk Ahmad Nawab berkata, artis-artis yang bermasalah akan menjadikan Abi dan isterinya iaitu wartawan hiburan veteran Bahyah Mahmood tempat untuk mendengar keluhan masing-masing. “Boleh dikatakan setiap kali saya pergi ke rumah Abi, mesti ada artis di situ. Artis nak cerai, artis gaduh, depalah (mereka) yang selesaikan. Depa berdua ni umpama penasihat kepada artis,” katanya mengimbas kenangan zaman 80-an. Terdahulu Abi, 79, yang merupakan bekas pengarang akhbar Mingguan Malaysia meninggal dunia kira-kira pukul 12.15 pagi Rabu di Institut Kanser Negara, Putrajaya akibat kanser prostat. Dari kiri Ali Bakar, Uji Rashid dan Ahmad Nawab. Allahyarham pada mulanya mendapatkan rawatan di Hospital Selayang pada Disember tahun lalu sebelum dipindahkan ke institut berkenaan selepas terjatuh di rumahnya pada 20 Januari lalu. Selain Bahyah yang juga bekas pengarang URTV, Allahyarham meninggalkan tiga orang anak berusia antara 38 hingga 49 tahun dan lima orang cucu. Beliau bersara dari Utusan Melayu pada 1993. Dalam pada itu Ahmad Nawab berkata, selain beliau seorang lagi artis yang baik dengan Allahyarham ialah Datuk Ahmad Daud sehinggakan mereka bertiga dipanggil ‘tiga Ahmad’. Katanya sebelum membuat apa-apa persembahan, mereka akan mendapatkan nasihat dan pandangan Abi agar majlis yang dirancang itu berjalan lancar. Penyanyi Uji Rashid pula bercerita, antara artis yang kerap ‘melepak’ di rumah Allahyarham ialah Sudirman, Azean Irdawaty, Latif Ibrahim dan Sharifah Aini. Kata Uji, di rumah Allahyarham terdapat sebuah bilik yang dijadikan tempat untuk menghilangkan tekanan ataupun bersedih. Antara artis yang kelihatan ialah Noorkumalasari (dua dari kanan) Yusof Haslam (empat dari kanan) dan Hail Amir. “Biasanya kalau artis-artis yang tertekan, dia orang akan menangis dan isteri Allahyarham akan suruh mereka masuk dan menangis dalam bilik itu. “Semasa Sharifah Aini ada masalah rumah tangga dengan Ali Bakar, rumah itulah tempat tumpuan mereka. Sharifah Aini pernah tidur di bilik itu. Begitu juga semasa krisis rumah tangga Sudirman dan isterinya,” cerita Uji. Dalam pada itu Ali Bakar pula berkata, Abi yang dikenalinya lebih 30 tahun lalu dianggapnya sebagai abang selain seorang individu yang baik hati. Ali turut menjadikan Abi sebagai tempat rujukan terutamanya isu-isu pada tahun 1980-an yang membabitkan kes rambut panjang artis dan masalah rumah tangganya. “Masa saya bergaduh dengan Kak Pah (Shahrifah Aini), apa-apapun kami mengadu pada dia dan isterinya, Kak Bam. “Malah Kak Pah sendiri menganggap isteri Abi macam ibunya sendiri,” kata Ali. Bahyah Mahmood menyiram bunga di pusara suaminya. Hail Amir pula berkata, antara kenangan yang sentiasa kekal dalam ingatannya ialah sikap Abi yang sentiasa tersenyum. Malah Allahyarham dan isterinya antara wartawan yang cukup dihormati golongan artis pada ketika itu. “Hubungan artis dulu dan wartawan sangat hebat. Tak macam sekarang… Dan Arwah semenangnya seorang yang sangat baik dalam memberi nasihat-nasihat dan pandangan kepada kami,” katanya. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikkan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat dekat sini kira-kira pukul 11.30 pagi Rabu. Selebriti lain yang turut kelihatan ialah Noorkumalasari, Rubiah Suparman, Habsah Hassan, Datuk Yusof Haslam, Ziela Jalil dan dramatis Rahim Jailani. Turut hadir bekas tiga Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu iaitu Tan Sri Zainuddin Maidin, Tan Sri Johan Jaffar, Datuk Khalid Mohd dan Ketua Pengarang ketika ini Datuk Aziz Ishak. Yang turut hadir ialah bekas Timbalan Menteri Penerangan dan juga bekas wartawan Utusan Melayu iaitu Datuk Khalid Yunus.