suria

Rakan Artis Masam Muka Terhadap Neelofa Gara-Gara Instagram

Neelofa
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Neelofa memberitahu ada rakan-rakan artis terasa hati selepas dia bertindak keluar sebagai rakan (unfollow) individu berkenaan dalam senarai pengikut Instagram mereka.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Md Noor, 26, menyifatkan perasaan tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan dia sekadar mengeluarkan mereka di Instagram dan bukannya bermaksud untuk memutuskan persabahatan.

"Saya mula berhenti menjadi pengikut rakan-rakan termasuklah teman-teman artis sejak beberapa bulan lalu dan perkara itu membuatkan ramai yang mempersoalkan tindakan saya itu.

"Mereka merasakan sebagai kawan, menjadi kewajipan untuk mengikut mereka di Instagram. Dan jika saya unfollow mereka, ia menjadi satu isu besar.

"Ada yang sentap (terasa) dan sehingga kini tidak bercakap dengan saya gara-gara tindakan ini. Sedangkan saya masih lagi menganggap mereka kawan," katanya kepada mStar Online.

Terdahulu, Neelofa membuat keputusan untuk berhenti menjadi pengikut kepada lebih 1,000 akaun Instagram termasuklah akaun rakan-rakan dan teman selebriti.

Dan sehingga Selasa Neelofa hanya mengikut 714 akaun termasuklah mengenai berita tempatan dan dunia, gambar-gambar bayi, fesyen, hiasan dalaman dan tip-tip kecantikan.

Setakat ini Neelofa mempunyai 2.4 juta penigkut laman sosial itu.

Tambah Neelofa, sejak dia berbuat demikian, dia berasa lebih tenang selain menerima pelbagai ilmu yang bermanfaat sahaja.

"Ada sebab saya tidak mengikut rakan-rakan di Instagram. Keputusan ini dibuat sebagai usaha membiasakan diri untuk tidak berfikiran negatif terhadap apa yang kita lihat di laman sosial berkenaan.

"Contohnya, apabila kita lihat gambar rakan-rakan yang sedang bercuti atau hasil belian barang-barang, pasti terdetik dalam hati adakah mereka mahu menunjuk-nunjuk walaupun sebenarnya bukan itu niat mereka.

"Situasi seperti ini yang buatkan saya tidak suka. Kadang-kadang gambar yang mereka muat naik itu sudah menunjukkan ia bersifat negatif dan secara tidak langsung perkara itu terpalit dalam diri dan boleh serabutkan fikiran kita.

"Dengan cara ini, saya lebih tenang dan menjadi lebih positif dalam setiap perkara yang dilakukan," ujarnya.

Sementara itu, kata Neelofa, masalah terasa hati, gara-gara rakan tidak mengikut Instagram rakan lain sememangnya wujud bukan sahaja di negara ini tetapi juga seluruh dunia yang aktif menggunakan laman sosial.

Isu itu juga dianggap perlu dibawa ke depan untuk dibincangkan di dalam mana-mana program temu bual supaya masalah tersebut dapat dikurangkan.

"Laman sosial secara tidak langsung boleh menjurus kepada unsur-unsur negatif seperti isu follow dan unfollow ini. Kerana perkara seperti ini juga ia boleh membawa pergaduhan sesama rakan dan juga keluarga.

"Bagi saya isu seperti perlu diketengahkan dalam rancangan bual bicara untuk memberi fahaman kepada masyarakat bahawa laman sosial bukanlah segala-galanya dalam sebuah jalinan perhubungan. Dan jika kita unfollow seseorang, tidak bermaksud kita putus hubungan," tegasnya.
Neelofa

Artikel Lain