suria

Program Jelajah 'Busking' Bantu Rawatan Anak Azman (Flop Poppy)

Azman Ismail berharap dapat mengumpul dana sebanyak RM30,000 bagi menampung kos pembedahan anaknya yang menghidap usus tidak bersambung. FOTO: IRSYADI ISMAIL
KUALA LUMPUR: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bakal menganjurkan program jelajah busking di enam lokasi terpilih bagi mengutip derma membiayai pembedahan anak bekas pemain dram Flop Poppy, Azman Ismail, 44, yang bakal menjalani pembedahan 3 Mac depan.

"Pengurus Besar Karyawan, Ahmad Abdullah berkata, program bernama Busking 4 Putra itu menyasarkan kutipan sebanyak RM30,000 sebagai sumbangan kepada keluarga pemuzik itu untuk menanggung kos rawatan dan pembedahan bayi mereka.

Bayi malang bernama Putra Azrullah kini berusia enam bulan mengalami masalah usus tidak bersambung sejak dilahirkan pada  Oktober tahun lalu.

"Kami harap dengan program di enam lokasi ini iaitu dalam masa sebulan dapatlah dikumpulkan sebanyak RM30,000 sebelum bayi tersebut dibedah pada 3 Mac depan.

"Duit tersebut akan terus diberi kepada Azman untuk urusan pembedahan dan kos-kos rawatan lain yang diperlukan. Kami faham bukan senang untuk mencari jumlah sebanyak itu dalam keadaan ekonomi gawat ini," ujarnya kepada mStar Online.

Ahmad berkata demikian dalam sidang media Busking 4 Putra yang diadakan di Restoran Mcafe, di sini, Khamis.

Enam lokasi tersebut adalah Dataran DBI, Ipoh dan Kuala Kangsar, Perak iaitu pada 13 & 14 Februari manakala di Padang Kota dan Uptown Perda, Pulau Pinang pada 20 Februari.

Persembahan turut diadakan di Teluk Chempedak, Kuantan Pahang pada 27 dan 28 Februari sementara kemundaknya di Dataran Sogo pada 1 Mac depan.

Azman Ismail (kiri) bersama Ahmad Abdullah pada sidang media program jelajah busking.

Tambah Ahmad, dijangka seramai 100 orang pemuzik jalanan akan turut menyertai program tersebut di seluruh lokasi.

Selain itu, beberapa orang artis sudah mengesahkan kehadiran untuk terlibat dalam program amal ini di beberapa kawasan terpilih.

"Ramai kawan Azman sendiri sudah menyatakan kesudian untuk terlibat iaitu kita jangka 100 orang secara keseluruhan busker yang mahu memeriahkan program ini.

"Ada beberapa artis seperti Andy (Flop Poppy), Imuda, Aru R.O.B, Mie (Raja Lawak), Lola (XPDC), Shahrinband, Radhi Khalid, Rozita Rohaizad dan Rusty Blade akan terlibat di beberapa kawasan terpilih.

"Kami masih membuka peluang untuk artis-artis lain berkesempatan untuk datang memeriahkan keadaan," ujarnya.

Sementara itu, Azman berkata, dia meminta bantuan pihak Karyawan sebagai jalan terakhir untuk mengumpul dana pembedahan anaknya itu.

Dia akui, sejak berita tentang kesihatan anaknya tersebar, banyak pihak cuba membantu dengan pelbagai program muzik, namun masih tidak mencukupi.

"Saya sudah berusaha dan sepanjang beberapa bulan ini ramai kawan yang bantu dengan pelbagai program, namun wang tersebut masih tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan tersebut.

"Jadi saya tiada jalan lain selain meminta bantuan pihak Karyawan kerana masa semakin singkat iaitu tinggal sebulan sahaja," ujarnya.

Ditanya tentang kesihatan anaknya, Azman berkata, Putra Azrullah kini membesar secara normal seperti bayi lain, hanya perlu perhatian dan penjagaan yang lebih teliti.

"Dia memberar seperti bayi lain cuma tidak boleh membuang air besar secara normal sahaja. Kami perlu beri perhatian yang lebih dan mengutamakan aspek kebersihan," ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu meringgankan beban bayi ini boleh menderma ke akaun peribadi mereka di 7612555277 (CIMB - Azi Fitrah Ahmad).

Azman mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Azi Fitrah Ahmad pada tahun 2014.

Dia turut mempunyai lapan cahaya mata daripada perkahwinan sebelum ini.

 

Karyawan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain