PETALING JAYA: Sebanyak 1,000 keping tiket konsert kumpulan terkenal Indonesia, Sheila On 7 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 27 Mac depan sudah terjual hanya dalam tempoh dua minggu. Pengarah Urusan Mawlaya Network Sdn Bhd, Rezuan Ramli berkata, angka berkenaan menunjukkan tanda positif kerana sebelum ini tidak banyak promosi diadakan berhubung konsert berkenaan dan ia bukti band itu masih mempunyai pengikut tegar di negara ini. "Alhamdulillah, walaupun baharu sahaja pihak kami membuka jualan tiket ia telah pun terjual sebanyak 1,000 keping dan menjangkakan angka itu akan terus meningkat selepas ini. "Kali terkahir Sheila On 7 mengadakan konsert di Kuala Lumpur tiga tahun lalu dan persembahan terbaharu ini adalah paling besar khas buat peminat di Malaysia," katanya kepada mStar Online. Rezuan ditemui pada sidang media Konsert 20 Tahun Sheila On 7 di sini, Khamis. Konsert berkenaan akan berlangsung di StarXpo Hall, KWC Fashion Mall dekat sini pada pukul 8 malam. Noh Salleh bakal tampil sebagai artis pembuka tirai pada konsert Sheila On 7. Selain Duta selaku vokalis, Sheila On 7 turut dianggotai oleh Eross, Anton, Adam dan Sakti Penyanyi Noh Salleh dan Restoe Ibu Band akan bertindak sebagai artis pembuka tirai pada konsert tersebut. Dalam pada itu, Rezuan berkata, pihaknya menjangkakan 10,000 peminat akan hadir pada konsert itu memandangkan tahun ini juga adalah ulang tahun ke 20 penglibatan Sheila On 7 dalam industri muzik. Malah katanya, pemilihan KWC Fashion Mall sebagai lokasi dilihat sebagai tepat kerana ia berada di tengah-tengah bandar selain terdapat banyak pengangkutan awam disediakan di kawasan tersebut. "Kami pada mulanya ingin menganjurkan konsert tersebut di Stadium Negara namun atas beberapa masalah tertentu ia terpaksa dibatalkan dan memilih KWC Fashion Mall yang boleh menampung 10,000 penonton dalam satu-satu masa. "Konsert ini akan menjadi istimewa kerana bukan sahaja ia ulang tahun ke-20 Sheila On 7 malah mereka berjanji akan menyampaikan seleksi lagu-lagu terbaik buat peminat di negara ini," ujarnya. Sementara itu, Rezuan berkata, pihaknya tidak menghadapi kesulitan bagi mendapatkan kumpulan itu untuk beraksi malah mereka segera bersetuju apabila cadangan konsert itu dibuat kepada pihak pengurusan mereka di Jakarta. Sementara itu Noh Salleh berkata, dia teruja dapat sama-sama menjayakan konsert berkenaan sebagai artis pembuka tirai kerana memang meminati Sheila On 7. Katanya, pada slot persembahan pembukaan itu nanti dia bersama Restoe Ibu Band akan menyampaik empat buah lagu. Tiket untuk menyaksikan Konsert 20 Tahun Sheila On 7 dijual pada harga RM75, RM110, RM150 dan RM190. Ia boleh didapati di cawangan Rock Corner dan Victoria Music selain menerusi laman web www.ilassotickets.com