PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Elly Mazlein mengakui berasa bimbang terhadap berita-berita yang dilaporkan media berkaitan virus Zika yang menyerang ibu mengandung. Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina, 36, berkata, dia sendiri mengambil langkah mencegah pembiakann nyamuk di kawasan rumahnya, biarpun belum ada sebarang kes yang dilaporkan di negara ini. "Hari-hari berita tentang virus Zika ini membuatkan saya takut, walaupun belum ada kes di Malaysia, namun kita perlulah berhati-hati. "Nasib baik juga, ayah saya pun tinggal bersama saya, jadi dia paling bimbang dan memastikan kawasan rumah saya bersih daripada pembiakan nyamuk," ujarnya kepada mStar Online pada Jumaat. Virus Zika merupakan sejenis virus yang disebarkan oleh nyamuk Aedes. Virus ini memberi risiko kepada wanita hamil kerana ia boleh mengakibatkan pengecilan otak pada bayi. Dalam pada itu, Elly berkata, kandungan yang kini sudah mencecah usia lapan bulan itu berada dalam keadaan sihat. Katanya, sepanjang usia kandungan tersebut, dia tidak berhadapan dengan sebarang masalah atau alahan yang teruk seperti wanita mengandung lain. Dia dijangka bakal melahirkan bayi sulungnya itu pada 30 Mac depan di sebuah pusat perubatan swasta di Ibu Kota. "Alhamulillah, sudah masuk lapan bulan dan saya tidak sabar untuk menyambut kelahiran bayi perempuan tidak lama lagi, sekarang mengira detik-detik indah ini. "Setakat ini, bayi dan saya sihat, saya bersyukur Allah mempermudahkan saya melalui perjalanan ini. Saya tidak terlalu banyak ragam atau meminta makan yang bukan-bukan," ujarnya. Sementara itu, Elly berkata, dia sudah membuat persiapan sebanyak 80 peratus untuk barang keperluan bayi yang bakal dilahirkannya. Tambahnya, perasaan mengira hari untuk menyambut orang baru dalam keluarga sukar untuk digambarkan ketika ini. "Saya memang tidak sabar, barang-barang bayi sudah siap, cuma barang-barang keperluan saya sahaja yang belum ada. "Sekarang masa untuk menikmati saat-saat sebelum melahirnya dan boleh dikatakan setiap bulan saya kumpul gambar dan rakam perkembangan yang berlaku untuk ditunjukkan padanya suatu hari nanti," ujarnya. Dalam pada itu, Elly turut bertuah apabila menerima tajaan perkhidmatan rawatan ibu bersalin Sri Wajah Ibu sepanjang tempoh berpantang. "Alhamdulillah rezeki anak, saya dapat tajaan penjagaan rawatan sepanjang tempoh berpantang daripada Sri Wajah Ibu. "Saya tidak bimbang tentang pemakanan, jamu dan urutan bersalin kerana datang ke rumah setiap hari untuk menjaga saya. Mereka juga profesional dan tahu cara terbaik untuk jaga saya dan bayi," ujarnya. Elly mendirikan rumah tangga dengan pengarah drama Azmi Hatta pada 9 November 2014.