suria

Gelaran 'Datuk', Norman (KRU) Mahu Tingkatkan Industri Kreatif Di Pahang

Norman (KRU) mahu industri kreatif dianggap bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi juga memberi manfaat kepada masyarakat.

PETALING JAYA: Pengarah Urusan KRU Studios, Norman Abdul Halim menyifatkan gelaran Datuk yang diterima menunjukkan industri kreatif bukan sekadar hiburan kosong, sebaliknya mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Penganugerahan tersebut diberi bersempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, di Istana Abu Bakar di Kuantan, Pahang pada Sabtu.

Norman berkata, ia adalah satu penghormatan kepadanya sebagai seorang anak seni dan merancang ingin membalas penganugerahan yang diberi dengan menjalin kerjasama daripada pelbagai pihak untuk membangunkan industri kreatif di negeri Pahang.

"Penganugerahan ini menunjukkan usaha membangunkan industri kreatif negara selama ini dipandang serius oleh pihak kerajaan. Ini merupakan satu penghormatan yang besar buat saya dan keluarga.

"Diharap pada masa akan datang saya dapat bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk meningkatkan industri  kreatif pula di Pahang," katanya yang dihubungi mStar Online pada Sabtu.

Selain Norman, penerbit Ziela Jalil dan aktor Hans Isaac juga merupakan antara 85 penerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Sementara itu, Norman berkata, pihaknya menerusi KRU Studio juga merancang untuk mengembangkan industri kreatif menerusi aplikasi digital.

"Sebelum ini KRU Akademi tertumpu kepada prestasi kandungan animasi dan tidak lama lagi kita akan fokus pada keusahawanan digital berkaitan media sosial.

"Selain itu kami akan melaburkan kos yang besar untuk membina laman web ecommerce untuk membantu masyarakat mengembangkan perniagaan masing-masing," ujarnya.
Norman KRU

Artikel Lain