PETALING JAYA: Pelakon Nor Albaniah menyifatkan kebanyakan lelaki terlalu terburu-buru dalam mencari cinta sehingga ia boleh membuatkan segelintir wanita berasa tidak senang. Nor Albaniah atau nama sebenarnya Nor Albaniah Raffie, 47, berkata, perkara itu turut terjadi kepadanya sehingga membuatkan dia menolak ramai lelaki yang ingin mendekatinya. "Apa yang saya lihat kebanyakan mereka (lelaki) terlalu terburu-buru dalam mengejar cinta. "Itu yang berlaku pada saya. Bayangkan, baru mesej di WhatsApp dan belum berjumpa, macam-macam permintaan dah dibuatnya. Ada yang nak ubah diri saya. Terus saya reject. "Perkara itu juga membuatkan saya lebih selesa hidup solo buat masa ini," katanya kepada mStar Online. Nor Albaniah berkata demikian selepas ditanya mengenai sebab dirinya masih hidup solo selain perancangan kehidupannya akan datang. Dalam pada itu, Nor Albaniah juga pelik dengan segelintir lelaki yang menganggap dirinya seorang materialistik dengan membuat pelbagai tawaran lumayan untuk mendampinginya. Nor Albaniah tidak memilih watak dalam tawaran lakonan yang diberi. "Mereka menawarkan kemewahan kerana menganggap saya materialistik. Bukan itu yang saya mahu. Saya masih mampu bekerja untuk mendapatkan apa yang diinginkan. "Sebab itu saya kata, susah nak cari lelaki yang benar-benar jujur pada zaman ini," ujarnya. Tambah Nor Albaniah, dia tidak terlalu mengejar dalam mencari pasangan kerana meletakkan perancangan perkahwinan di senarai paling akhir. Sementara itu, Nor Albaniah meluahkan rasa syukur, dia masih lagi diterima peminat drama dan filem Melayu meskipun sudah lama dalam industri seni tempatan. Malah, pihak penerbit juga cukup senang untuk menawarkannya berlakon dan menyifatkan rezeki lakonan sentiasa ada kerana dia tidak memilih watak yang diberi. "Industri seni dulu dan sekarang sangat berbeza. Kalau zaman kegemilangan dulu, memang saya pilih watak dan hanya fokus pada filem. "Tetapi tidak lagi sekarang. Saya lebih terbuka tidak kira watak, drama atau filem, saya akan terima tawaran tersebut," tuturnya. Dalam perkembangan lain, Nor Albaniah bakal muncul menerusi filem Pelepas Saka yang ditayangkan bermula 4 Februari 2016 bersama barisan pelakon baharu Hanif Safuan, Hafizz Bahari dan Lydia Izzati. Selain itu lakonannya menerusi drama Cinta Hati Abah kini sedang ditayangkan di slot TV3 manakala Puteri Labu di TV1.