suria

Baju Sedondon Elizabeth Tan Sempena Tahun Baru Cina

Elizabeth Tan tidak akan melepaskan peluang untuk melawat ahli keluarga bersempena sambutan Tahun Baru Cina.

PETALING JAYA: Penyanyi Elizabeth Tan mendedahkan seluruh ahli keluarganya akan memakai baju-T sedondon berwarna merah setiap kali tiba sambutan Tahun Baru Cina.

Elizabeth atau lebih mesra dengan sapaan Lizzy berkata, tradisi memakai baju yang tertera tulisan Tan's Family itu sudah lama diamalkan dan ia direka khas oleh sepupunya setiap tahun.

"Saya mempunyai keluarga yang besar dan bayangkan betapa meriahnya kami dengan baju-T sedondon setiap kali Tahun Baru Cina.

"Ia sudah lama diamalkan dan sudah menjadi kebiasaan kami untuk memakai baju berkenaan sebagai penyatuan kami sekeluarga," katanya kepada mStar Online.

Lizzy memberitahu pada tahun ini dia menyambut perayaan itu di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur bersama keluarganya.

Dalam pada itu, Lizzy berkata, sambutan pada tahun ini diadakan secara sederhana namun akan memastikan mengunjungi semua sanak saudara yang kesemuanya menetap di Kuala Lumpur.

Malah kata Lizzy, setiap tahun dia akan membuat carta khas bagi memastikan semua saudara dilawati pada hari istimewa tersebut.

"Bayangkan ayah saya sahaja mempunyai 12 adik-beradik dan carta itu dibuat bagi membantu kami merancang perjalanan dan memastikan tiada yang tertinggal.

"Pada saya, amat penting bagi kami untuk menziarahi mereka pada hari istimewa ini kerana ia dapat mengeratkan silaturahim sesama kami," jelasnya yang akan bercuti selama seminggu.

Sementara itu, Lizzy berkata, dia terkilan kerana tidak dapat membeli baju baharu pada tahun ini kerana terlalu sibuk dengan kariernya sebagai penyanyi.

"Selalunya saya akan beli Cheongsam setiap tahun tetapi tahun ini nampaknya terpaksa pakai yang lama kerana tiada masa untuk beli-belah.

"Bagaimanapun tidak mengapa kerana apa yang paling penting saya dapat menghabiskan masa bersama keluarga," jelasnya.

Elizabeth Tan

Artikel Sebelum

Artikel Lain