PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh Salleh meluahkan rasa gembira apabila lagunya, Sang Penikam mendapat perhatian penulis filem Indonesia, Husein M Atmodjo. Noh berkata, Husein telah menghubunginya untuk meminta kebenaran menggunakan lagu Sang Penikam sebagai runut bunyi karya terbaharunya berjudul Midnight Show. "Saya tak sangka sebenarnya apabila ada penggiat seni dari Indonesia menghubungi saya kerana mahu meminta izin menggunakan lagu saya dalam filemnya. Bagi saya itu adalah satu penghargaan besar. Trailer filem Midnight Show. "Ia juga satu peluang besar kerana secara tidak langsung lagu saya dipromosikan di negara itu," katanya. Midnight Show merupakan filem arahan Ginanti Rona Tembang Asri dan ia dibintangi oleh Acha Septriasa, Gandhi Fernando dan Ganindra Bimo. Noh kini sibuk menyiapkan album baharu bersama Hujan. Sementara itu, Noh yang juga merupakan vokalis kumpulan Hujan berkata, dia bersama ahli-ahlinya iaitu AG Coco, Dimas, Am dan Izzat sedang sibuk menyiapkan album baharu yang dijangka akan dikeluarkan pada tahun ini. "Sekarang ini kami sedang sibuk di studio rakaman untuk menyiapkan album Hujan selepas tiga tahun tanpa produk baru. "Sebanyak 12 buah lagu yang akan dimuatkan, tetapi baru beberapa lagu sahaja yang sudah siap dirakamkan. Saya harap kemunculan album baru ini dapat mengubati rindu para peminat," ujarnya. Dalam pada masa sama, Noh berkata, dia juga sibuk menyiapkan album solo keduanya selepas Angin Kencang.