PETALING JAYA: Penyanyi rap SonaOne mendedahkan pernah menganggap kehidupan dewasa adalah perkara yang membosankan. SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach, 27, berkata, perasaan itu muncul ketika usianya baharu 22 tahun kerana merasakan terlalu banyak tanggungjawab dan komitmen yang harus dipikul. "Biasalah, ketika dalam tepoh meningkat dewasa, tanggungjawab kita semakin besar. "Pelbagai komitmen yang harus dilaksanakan, sebagai contoh membayar bil, bangun pagi dan kerja. Ketika itu saya berasa alangkah indahnya jika saya dapat berpatah balik melalui zaman sekolah semula," katanya. SonaOne Bagaimanapun, tambah SonaOne, pemikiran itu bersifat sementara dan ia berubah selepas dia mula menjadi seorang yang lebih matang. Kata SonaOne, dia percaya ramai yang turut merasakan perkara sama dan perkara itu membuatkan dia tampil album solo pertama berjudul Growing Up Sucks. Katanya, setiap lagu dalam album tersebut menceritakan pengalaman yang dilaluinya bermula usia 22 tahun sehinggalah sekarang. Malah, SonaOne turut berkongsi perasaannya yang berasa sunyi pada masa-masa tertentu menerusi lagu I Dont Wanna Die Alone. "Growing Up Sucks memuatkan 12 buah lagu yang ditulis sepenuhnya oleh saya. Lagu-lagu tersebut dihasilkan dalam tempoh empat tahun sejak 2011 mengisahkan apa yang saya rasai mengenai kehidupan dan cinta. "Ia bukan hanya untuk remaja tetapi juga sesuai didengarkan oleh golongan dewasa. Sebagai contoh, lagu I Dont Wanna Die Alone, ia sebuah lagu yang sangat berat. Remaja mungkin tidak akan faham dengan lirik yang saya sampaikan," ujarnya. Album Growing Up Sucks itu bakal dilancarkan pada 20 Februari ini dengan memperkenalkan single lagu Firefly. Tambah Sonaone, dia yakin Firefly akan menjadi sebuah lagu yang terbaik berbanding single sebelum ini, No More.