suria

Faye Kusairi Akhirnya Bertudung Selepas Sebulan Tangguh

Faye Kusairi kini bertudung.
PETALING JAYA: Pelakon yang dikenali menerusi drama Istiharah Cinta iaitu Faye Kusairi terpaksa menangguhkan hasratnya untuk berhijab sejak sebulan lalu berikutan perlu menghabiskan drama bersiri Pujaan Hati Umi yang berakhir pada Selasa.

Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 29, berkata, secara rasminya pada Selasa memakai tudung selepas penggambaran drama itu berakhir.

"Hari ini (Selasa) merupakan hari pertama saya berhijab. Sebenarnya hati saya terbuka sejak pertengahan bulan lalu tapi ketika itu saya sedang dalam penggambaran lagi. Saya tidak mahu menyusahkan pihak produksi bila tiba-tiba berhijab dan watak menjadi tiada kesinambungan.

"Jadi dalam tempoh penggambaran itu saya ambil peluang biasakan bertudung kecuali sedang berlakon sahaja, ketika itu sudah rasa sangat janggal kerana terpaksa buka tudung," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Rabu.

Faye berkata, dia sudah menyimpan hasrat untuk bertudung sejak tahun lalu, namun masih belum yakin untuk meneruskan niat tersebut.

Dia juga tidak mahu hasrat untuk berhijab ketika itu hanya disebabkan terikut-ikut rakan artis lain yang melakukan perubahan berkenaan.

"Tahun lalu lagi hati saya sudah terdetik untuk bertudung tapi saya tidak yakin kerana saya takut ia adalah pegaruh rakan-rakan sahaja.

"Kalau boleh saya mahu niat saya itu adalah kehendak hati saya sendiri dan bukan sebab mengikut trend semasa," ujarnya.

Dalam pada itu tambahnya, penghijrahan tersebut bukan kerana ingin mendirikan rumah tangga atau memulakan perniagaan berkaitan tudung.

Sebaliknya dia mendapat kekuatan daripada hatinya sendiri yang menganggap sudah sampai masanya memulakan kehidupan baharu.

"Saya bertudung bukan sebab nak kahwin atau jual tudung, kalau nak jual tudung saya boleh jual sahaja tanpa bertudung pun," ujarnya.

Sementara itu, bercerita tentang kerjaya, Faye bakal menceburi bidang nyanyian dan akan memasuki studio rakaman pada tidak lama lagi.

Katanya, bakat nyanyian dia dikesan sendiri oleh komposer Amy Nawari yang juga penolong pengarah drama Pujaan Hati Umi.

"Saya akan keluar dengan single pertama berjudul Kau Biarkan dan lagu tersebut akan digunakan untuk lagu tema drama Pujaan Hati Umi yang ditayangkan pada bulan depan di Slot Azalea, TV3.

"Amy mendengar suara saya menyanyi ketika penggambaran tersebut dan menawarkan untuk mencipta sebuah lagu untuk saya," ujarnya.

Faye sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengan pelakon Syazwan Zulkifly ketika mereka belakon bersama dalam drama Istiharah Cinta.
Faye Kusyiri

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain